Shafique Dassila

‘Umno sakit, saya hendak cuba pulihkannya’

Pemilihan Umno akan datang merupakan peluang terbaik untuk parti tersebut melakukan “pemutihan” dengan menyingkirkan golongan pemimpin yang tidak relevan dan digantikan dengan muka-muka baharu, tegas seorang penyokong setia Umno.

Shafique Dassila Mohd Adam Das, 28 – yang bakal menentang calon lebih popular Shahril Hamdan untuk jawatan naib Ketua Pemuda pada 23 Jun ini – berkongsikan pandangannya dengan Twentytwo13 mengapakah dia tetap setia kekal bersama Umno sekalipun ia ibarat kapal yang sedang karam.

“Ramai kawan serta kenalan bertanyakan kepada saya kenapa saya sanggup bertanding dalam pemilihan Umno walaupun Umno dan Barisan Nasional baru-baru ini menghadapi kekalahan buat kali pertamanya dalam sejarah.

Benar, Umno dibelenggu dengan pelbagai masalah seperti kemelut politik wang, skandal rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya. Mungkin ini berbunyi janggal dan pelik, tapi pada pemikiran saya, Umno telah banyak juga berjasa dalam mentadbir negara dan sepatutnya diberi peluang untuk sembuh dan kembali kuat sebagai pembangkang yang mampan sekurang-kurangnya.

Saya merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Saya datang dari keluarga yang sederhana. Ibu saya seorang suri rumah manakala ayah saya seorang bekas penjawat awam. Sejak umur 13 tahun, saya dan adik saya akan berjalan kaki ke SMK Tinggi Batu Pahat untuk belajar. Alhamdulillah, saya berjaya dalam peperiksaan SPM dan mendapat tawaran pelajaran daripada Majlis Amanah Rakyat dan Felda untuk menyambung pelajaran pengajian tinggi di Amerika Syarikat atau UK. Saya terima tawaran ke Pennsylvania State University untuk mengaji bidang Bioteknologi.

Secara peribadi, inilah sebabnya saya pilih sertai Umno. Saya fikir tidak kerana pentadbiran dan pimpinan kerajaan Barisan Nasional yang diketuai oleh Umno waktu itu, saya tidak akan mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Oleh itu, saya patut cuba menyumbang tenaga bantu bina semula parti Umno yang sebelum ini memerintah dan mewujudkan institusi seperti Mara yang membolehkan anak muda seperti saya untuk menimba ilmu.

Mungkin  fikiran ini agak old-school atau kolot, tapi saya percaya bila kita diberi bantuan, adalah wajar kita cuba membalas jasa itu.

Saya lihat Umno ini sebagai ibu bapa kita. Kita mungkin tidak tahu tentang kisah silam ibu bapa atau penjaga kita, tapi kita tetap sayang dan hormati ibu bapa kita atas kasih sayang, makan minum yang diberikan setiap hari, motivasi dan sokongan bila kita memerlukannya, pembiayaan pelajaran untuk memberi masa depan yang lebih baik kepada kita.

Dan bila ibu bapa kita jatuh sakit, apakah seharusnya seorang anak lakukan? Tinggalkan mereka begitu sahaja walaupun hanya kerana mereka pernah merotan atau pukul kita? Atau kita bersama mereka dan cuba ikhtiar supaya mereka kembali sembuh dan baik?

Saya pilih untuk berikhtiar, mencari jalan penyelesaian dan menyumbang fikiran serta tenaga kepada Umno.

Umno sudah sakit dan tercedera, jadi sebagai seorang ahli Umno saya pilih untuk cuba pulihkan kesakitan itu kerana Umno dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini telah berjasa kepada saya.

Kepada sahabat-sahabat saya yang masih sangsi atau ragu-ragu dengan Umno, saya fikir penglibatan dalam Umno ini sekurang-kurangnya boleh jadi landasan latih tubi dan pengajian politik kerana telah terbukti Umno merupakan antara ‘sekolah politik’ yang baik.

Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 kita Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi pemimpin merupakan bintang-bintang yang lahir daripada acuan UMNO.

Umno, sebagai institusi politik, telah terbukti melahirkan ramai pemimpin yang berwibawa. Berikanlah peluang kepada Umno menerusi kepimpinan baru kerana kali ini pimpinan Umno akan berubah, dan InsyaAllah berubah kearah yang lebih baik.”