Ahmad Shabery ‘pilihan terbaik’ teraju Felda

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mempunyai tugas yang besar setelah diberi tanggungjawab sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu, berkuatkuasa 1 Julai.

Ini kerana Felda sebelum ini dibelengu beberapa isu, termasuk masalah aliran tunai dan bebanan hutang yang tinggi. Peneroka-peneroka Felda juga memerlukan bantuan, dalam mengatasi isu sosial dan pendidikan.

Ahmad Shabery, 64, mengetahui rintihan peneroka-peneroka Felda seluruh negara. Ini kerana beliau telah banyak berinteraksi dengan mereka ketika bertugas sebagai menteri di tiga kementerian – Belia dan Sukan; Komunikasi dan Multimedia, serta Pertanian dan Industri Asas Tani.

Antara tugas-tugas beliau sebelum ini ialah memperkasakan rangkaian internet di seluruh negara, termasuk di kawasan Felda, seperti Felda Sungai Tengi di Kuala Kubu Bharu, dan Felda Cherul, Kemaman.

Semasa di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery menggalakkan penanaman durian Musang King di kawasan Felda, dalam usaha meningkatkan pendapatan peneroka. Kawasan Felda Neram 1 di Chukai menjadi perintis, dengan tanaman fasa pertama membabitkan 600 pokok durian.

Bekas Ketua Pegawai Operasi Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Norafizah Rahman, mengakui bahawa Ahmad Shabery merupakan “pilihan yang tepat” untuk menerajui Felda.

“Beliau sangat berwawasan dan dapat melihat benda dengan jelas. Datuk Seri tahu apa yang akan menarik minat pemegang taruh, pihak media, dan pihak-pihak yang berkenaan.

“Dia menekankan keperincian terhadap perkara yang kecil dan melihat sesuatu secara holistik,” kata Norafizah yang berkerja rapat dengan Ahmad Shabery untuk menjayakan MAHA 2016 dan Malaysia Food Festival 2017.

“Beliau rajin turun padang dan berjumpa dengan akar umbi. Jadi, beliau memahami masalah yang dihadapi dan akan cuba mendapatkan jalan penyelesaian. Itu juga merupakan salah satu ciri penting Datuk Seri.”

Norafizah juga berkata Ahmad Shabery bijak mendapatkan penglibatan sektor swasta dalam sesuatu inisiatif supaya tidak membebankan kerajaan.

Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Terengganu, Mohammad Syahiran Annuar, berkata warga Felda secara umumnya gembira menyambut sesiapa sahaja yang akan menjadi Pengerusi Felda.

“Ini kerana kami telah menerima 11 pengerusi sejak tahun 1956. Sesiapa saja yang dilantik sebagai Pengerusi Felda yang baharu bermula 1 Julai ini, perlu memiliki satu azam, keberanian, kebijaksanaan dan iltizam yang kukuh.

“Dasar, polisi, dan akta yang ‘mengikat’ Felda dari bergerak kehadapan perlu dipinda. Penstrukturan perlu dibuat dengan lebih berani dan tegas. Keseimbangan pengaruh objektif politik dan objektif sebagai agensi kerajaan perlu diperhalusi.

“Samada ahli politik atau teknokrat, pengurusan perniagaan Felda adalah untuk memastikan pemegang taruh (iaitu peneroka dan generasi) sentiasa dijaga kebajikannya, dan kelestarian Felda sebagai pemain industri komoditi dunia, terjamin,” katanya lagi.

Syahiran juga berkata warga Felda telah melalui semua fasa, dari “zaman kegemilangan ke kegelapan”.

“Felda perlu kembali relevan dilandasan yang betul untuk 50 tahun seterusnya,” tambahnya lagi.

Pengeksport durian, Datuk Teoh Seow Chiew, turut menyambut baik pengumuman Felda.

“Datuk Seri Ahmad Shabery bijak menilai peluang yang orang lain tidak dapat lihat. Salah satunya ialah Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning, China. Disebabkan inisiatif beliau, penanaman durian telah menjadi industri bernilai berjuta ringgit, dan ramai pengusaha ladang Malaysia yang menanam durian telah menjadi jutawan,” kata Teoh.

“Beliau juga berpandangan jauh dan mampu menilai keperluan masa depan. Ini terbukti di upacara perasmian Livestock Asia 2018 di mana Ahmad Shabery berkata Malaysia perlu mengambil inisiatif mengeluarkan sendiri makanan ternakan bagi menangani masalah kenaikan harga bahan itu di pasaran. Malangnya, tiada sesiapa yang melihat perkara ini, dan hari ini, harga makanan ternakan telah melambung tinggi, mengakibatkan harga ternakan dan rantaian bekalan ternakan naik.”

Tambah Teoh lagi, Ahmad Shabery seorang pemimpin berjiwa rakyat, dan nilai tersebut terserlah ketika membela nasib nelayan semasa menerajui Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

“Beliau lebih dari seorang ahli politik. Saya pasti Felda akan bergerak maju kehadapan dengan kepimpinan Ahmad Shabery,” kata Teoh.

Tagged with: