Cerita ‘Langkah Najib’ 1987 kembali

Reliving Umno's 1987 episode

Tun Dr Mahathir Mohamad lawan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 untuk merebut jawatan Presiden Umno merupakan pertandingan paling sengit yang pernah diingati.

Team A lawan Team B. Team A menang, Team B kalah tipis.

Kisah yang berlaku hampir 30 tahun dahulu sudah menjadi seperti riwayat. Penceritaannya berliku-liku. Ada fakta. Ada separa fakta. Bergantung dari sudut mana ia dilihat. Bergantung siapa yang menceritakannya.

Perjalanan sejarah dilihat ada jalurnya sendiri. Namun tidak ramai yang menyedari jalur ini terbina kerana langkah-langkah kritikal yang berlaku ketika itu.

Misalnya, sehingga sekarang umum tak mengetahui, kenapa Datuk Seri Najib Razak dilihat menyeberang sempadan. Dari orang yg dikenali sebagai orang Ku Li, anak didik Ku Li ketika itu, hanya di saat akhir sebelum pengundian, Najib mengisytiharkan sokongannya kepada Dr Mahathir.

Keputusan akhir – Ku Li kalah 43 undi.

Jumlah perwakilan tak sampai 3,000 orang. Ketika itu satu Bahagian Umno diwakili 11 orang. Kalau dua Bahagian menyeberang sempadan, sudah tentu keputusan berbeza.

Ramai menganggap langkah Najib di saat akhir itulah menjadi penyebab besar kekalahan Ku Li.

Sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan Ketua Perhubungan Umno Negeri Pahang ketika itu, sudah tentu Najib mampu membawa lebih dari dua bahagian berpaling menyokong Dr Mahathir.

Sejarah berbeza dan jalur perjalanan politik Umno berbeza. Tanpa langkah Najib, mungkin Dr Mahathir kalah dan Ku Li jadi Perdana Menteri. Sudah tentu corak dan lanskap politik negara juga berbeza.

Umum mengetahui dalam politik, kita tidak boleh terlalu mengharap orang berterima kasih atau mengenang budi di masa depan. Ketika ini, Dr Mahathir tidak perlu menoleh kebelakang untuk berterima kasih kepada Najib kerana tanpa Najib, beliau mungkin kalah ketika itu dan tidak terus menjadi Perdana Menteri.

Itu sebahagian dari jalur sejarah untuk beliau menjadi Perdana Menteri ke-7. Lagi pun Dr Mahathir sudah pun membalas budi Najib dengan pelbagai cara selepas itu. Maka haknya juga untuk menghukum Najib pada hari ini sekiranya Najib berbuat sesuatu yang beliau tidak senangi.

Namun kalau Dr Mahathir menyatakan kekesalannya menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menaikkan Najib selepas itu, sudah tentu Najib pula berhak menyatakan kekesalannya menjatuhkan Ku Li dan menyokong Dr Mahathir 29 tahun dulu.

Sebab itu kini, ramai ingin tahu cerita sebenar “Langkah Najib” tahun 1987. Hanya Najib boleh menceritakannya.

Ia penting, kerana hanya di tahun 2018 ini kita melihat pertandingan merebut jawatan Presiden Umno dipertandingkan kembali. Entah dirancang, entah kebetulan. Nama Ku Li muncul lagi.

Bagi Ku Li, jangan dilihat pertandingan ini untuk beliau melawan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau Khairy Jamaluddin. Ia adalah pertandingan di mana Ku Li ingin mengepalai Umno melawan Dr Mahathir lagi.

Mungkin ini langkah terakhir Ku Li dalam kehidupan politiknya. Menang kalah adalah adat. Namun ini peluang terakhir untuk beliau menunjukkan keupayaan menentang Dr Mahathir sekali lagi. Ada yang menganggap untuk temukan buku dan ruas ialah perlawanan kembali Dr Mahathir-Ku Li versi 2.0. Mereka sama berpengalaman, sama veteran dan sama berumur.

Dalam sejarah ramai melihat cara Dr Mahathir mengendalikan musuh politiknya. Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah merasanya, Zahid pernah merasanya, Lim Kit Siang pernah merasanya, Lim Guan Eng pernah merasanya. Kini Najib dan Umno sedang merasainya.

Mungkin Najib dapat berkongsi perasaannya kalaulah beliau tidak berpaling menyeberang sempadan tahun 1987, apa yang dirasai mereka ini mungkin tidak berlaku.

Jalur sejarah berlaku kerana perjalanan masa. Keputusan kita hari ini walaupun kecil tetapi ia mungkin amat kritikal menentukan perjalanan sejarah di masa depan.