Kemelut gaji KDA FC: Bekas jurulatih B23 Rosle Md. Derus buntu tuntut RM108,000

Bekas jurulatih Bawah 23 Kedah Darul Aman FC Rosle Md Derus tertanya-tanya bagaimana kelab yang masih berhutang kepada bekas pemain serta pegawainya masih boleh beraksi dalam liga domestik.

Kemelut gaji KDA FC: Bekas jurulatih B23 Rosle Md. Derus buntu tuntut RM108,000

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Rosle Md. Derus, yang pernah mewakili negara dalam saingan Piala Dunia Remaja FIFA 1997 dan kelayakan Sukan Olimpik 2000, mempersoalkan kegagalan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melunaskan tunggakan gaji serta elaun miliknya.

Rosle, ketika ditemui di pejabat Twentytwo13 semalam, memaklumkan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan keputusan menerusi surat bertarikh 28 November 2024 yang menetapkan agar KDA FC membayar tunggakan gajinya berjumlah RM81,000 berserta elaun rumah sebanyak RM27,000.

“Saya sudah mengikut segala proses yang ditetapkan. Saya sudah ke FAM dan badan induk itu pun sudah membuat keputusan. Namun, sehingga kini, saya masih belum menerima sebarang pembayaran,” kata Rosle.

@twentytwo13news Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah buat keputusan tetapi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih belum bayar gaji dan elaun tertunggak berjumlah RM108,000. Ini keluhan bekas jurulatih KDA FC, Rosle Md Derus apabila ditemui di pejabat Twentytwo13 pada 4 Mac 2026. Untuk berita selanjutnya, sila layari www.twentytwo13.my #bolasepak #Malaysia #gaji #Kedah #Twentytwo13 ♬ original sound – Twentytwo13

Beliau turut meluahkan kehairanan mengenai status penyertaan kelab tersebut dalam saingan liga tempatan meskipun isu tunggakan gaji masih belum selesai.

“Walaupun FAM sudah membuat keputusan, bagaimana KDA FC masih dibenarkan untuk terus beraksi dalam saingan Liga A1?” soalnya.

Rosle, yang kini berada di ibu kota, mengakui beliau kecewa dan tawar hati dengan kemelut yang melandanya.

“Bukan saya sahaja, malah ada lebih 10 bekas pegawai dan pemain lain yang turut berdepan nasib sama, masih belum menerima tunggakan gaji daripada KDA FC. Saya sudah menghubungi pihak pengurusan kelab berkali-kali menerusi panggilan telefon dan pesanan ringkas, namun tiada sebarang jawapan diberikan,” katanya lagi.

Selepas meninggalkan KDA FC, Rosle sempat menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal Penang FC sebelum kontraknya bersama skuad Harimau Kumbang itu berakhir pada Mac. Beliau kini sedang mencari peluang baharu dan menyatakan kesediaan untuk berkhidmat walaupun di peringkat akademi akar umbi.

“Kehadiran saya di Kuala Lumpur adalah untuk mencari peluang pekerjaan baharu, sama ada sebagai jurulatih mahupun pengarah teknikal. Saya juga terbuka untuk membimbing akademi di peringkat akar umbi,” jelas beliau.

Sebelum ini, portal berita Twentytwo13 telah beberapa kali melaporkan mengenai situasi yang menimpa Rosle.

Nasib yang menimpa Rosle ini turut dikongsi oleh beberapa tokoh penting skuad KDA FC sebelum ini. Bekas pemain legenda Kedah yang juga bekas pegawai pasukan, Nelson San Martin, baru-baru ini mendedahkan beliau sedang mendepani masalah kewangan yang serius akibat isu serupa.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya pada 30 Mac lalu, Nelson mendakwa bukan sahaja tidak menerima tunggakan gaji daripada kontrak lama, malah belum menerima bayaran selama dua bulan selepas menandatangani kontrak baharu pada November tahun lalu.

Pada Disember tahun lalu, bekas ketua jurulatih KDA FC, Victor Andrag turut mendedahkan bahawa beliau masih menuntut tunggakan gaji yang dianggarkan melebihi RM300,000 daripada pihak KDA FC.