Setiap tahun kita sambut Merdeka, tetapi jiwa pemimpin masih belum Merdeka

Kemerdekaan sebenar sesebuah negara bukan sekadar bebas daripada penjajahan asing, tetapi menuntut kemerdekaan jiwa dan pentadbiran pemimpin daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta kepentingan peribadi demi memelihara integriti Malaysia.

Setiap tahun kita sambut Merdeka, tetapi jiwa pemimpin masih belum Merdeka

Setiap tahun kita mengibarkan Jalur Gemilang. Setiap tahun kita melaungkan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”. Kita mengenang pengorbanan pejuang kemerdekaan dan bercakap tentang patriotisme, maruah negara, serta masa depan Malaysia.

Tetapi sempena ulang tahun kemerdekaan ke-69 ini, ada satu soalan yang mungkin lebih penting daripada semua laungan itu: Kita sudah merdeka daripada penjajahan, tetapi apakah jiwa mereka yang memegang kuasa juga sudah merdeka?

Kita sudah 69 tahun merdeka, tetapi mengapa jenayah rasuah, pecah amanah, dan pelbagai bentuk krisis integriti masih menghantui kita? Soalan ini semakin relevan apabila isu rasuah, salah guna kuasa, konflik kepentingan, dan kelemahan tadbir urus terus muncul di negara ini, termasuk melibatkan mereka yang pernah berada di kedudukan tinggi dalam kerajaan.

Merdeka Daripada Penjajah, Tetapi Belum Merdeka Daripada Rasuah?

Perkembangan mutakhir sepatutnya membuatkan kita berhenti sejenak. Pada 27 Ogos lalu, tiga bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk prosiding berasingan.

Sehari kemudian, bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pula didakwa atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing. Beliau mengaku tidak bersalah. Hal ini bukan soal menyatakan seseorang itu bersalah sebelum mahkamah membuat keputusan.

Prinsip keadilan mesti kita hormati. Kita wajib menghormati prinsip undang-undang: Pertuduhan bukan sabitan. Seseorang hanya dianggap bersalah selepas diputuskan sedemikian oleh mahkamah.

Akan tetapi sebagai rakyat, kita tetap mempunyai hak untuk bertanya: Mengapa isu integriti terus berulang di peringkat kuasa tinggi? Apa yang lebih penting: Adakah kita sedang menyelesaikan punca masalah atau hanya menghukum mereka selepas masalah berlaku?

Ini Bukan Lagi Soal Seorang, Dua, Atau Tiga Individu

Kita tidak sepatutnya melihat setiap kes sebagai cerita tentang seorang individu semata-mata. Jika satu kes berlaku, kita mungkin bertanya tentang individu tersebut. Namun, jika kes yang sama berulang berkali-kali, kita mesti mula bertanya tentang sistem.

Apakah ruang yang membolehkan penyalahgunaan kuasa berlaku? Apakah mekanisme semak dan imbang yang gagal? Apakah konflik kepentingan yang tidak dikesan? Apakah kelemahan dalam proses perolehan? Apakah budaya dalam organisasi yang menyebabkan salah laku boleh berlaku tanpa segera dihentikan?

Jika kita hanya menghukum pesalah selepas skandal berlaku tanpa membaiki sistem yang membuka ruang kepada penyalahgunaan, kita sebenarnya sekadar memadam api tanpa membaiki punca kebakaran.

Rasuah Bukan Sekadar Wang Dalam Poket

Hal inilah perkara yang perlu kita fahami. Rasuah bukan hanya wang tunai yang diselitkan ke dalam sampul. Rasuah juga berkait rapat dengan penyalahgunaan amanah, kuasa, dan kedudukan. Ia boleh bermula apabila seseorang menggunakan kedudukannya untuk memberi kelebihan kepada pihak tertentu, apabila konflik kepentingan tidak diisytiharkan, atau apabila proses yang sepatutnya telus menjadi tertutup.

Ia boleh bermula apabila hubungan menjadi lebih penting daripada kelayakan. Malah, ia menjadi lebih berbahaya apabila budaya “orang kita” mengatasi prinsip. Di sinilah integriti mula mati.

Tabung Haji: Apabila Tadbir Urus Menjadi Persoalan

Perkembangan terbaru berkaitan Tabung Haji juga wajar menjadi pengajaran. Pada Ogos 2026, SPRM menahan tujuh individu dalam siasatan susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Tabung Haji, termasuk seorang CEO, bekas pengarah, seorang pengarah, dan empat bekas eksekutif kanan. Siasatan melibatkan antara lain dakwaan dokumen palsu, keputusan pelaburan, dan isu berkaitan pengurusan aset. Beberapa hari sebelumnya, bekas CEO dan CFO sebuah syarikat milik badan berkanun turut ditahan dalam siasatan berkaitan pemerolehan saham bernilai RM370 juta. Sekali lagi, kita tidak boleh menghukum sebelum proses undang-undang selesai.

Pengajaran daripada isu ini amat jelas: Krisis integriti tidak semestinya bermula apabila wang masuk ke poket seseorang. Ia boleh bermula apabila keputusan dibuat tanpa ketelusan, pengawasan lemah, dan amanah institusi tidak lagi menjadi keutamaan.

Apabila Pegawai Kanan Pun Terpalit, Apa Yang Berlaku Pada Budaya Organisasi?

Pada awal 2026, beberapa pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia turut menjadi subjek siasatan dan pertuduhan berkaitan dakwaan rasuah, salah guna kuasa, dan pengubahan wang haram, termasuk dalam isu perolehan serta Tabung Kebajikan Angkatan Tentera. Data yang lebih luas juga perlu kita renungkan.

Sejak tahun 2024 sehingga April 2026, SPRM melaporkan 2,633 Kertas Siasatan (KS) dibuka, 1,095 pertuduhan dibuat, dan 563 sabitan dicapai, manakala bakinya masih dalam prosiding. Angka ini menunjukkan bahawa tindakan penguatkuasaan sedang berjalan. Akan tetapi, angka yang sama juga sepatutnya membuatkan kita bertanya: Mengapa selepas begitu banyak tangkapan, pertuduhan, dan sabitan, masalah integriti masih terus muncul?

Jawapannya mungkin terletak pada satu perkara: Kita terlalu banyak bercakap tentang menghukum perasuah, tetapi belum cukup serius membina integriti dan sistem yang menyukarkan rasuah daripada berlaku.

Jiwa Yang Belum Merdeka

Apakah maksud jiwa yang belum merdeka? Jiwa yang masih diperhambakan oleh wang, kuasa, kedudukan, kronisme, serta kepentingan keluarga dan kelompok. Yang paling berbahaya ialah jiwa yang menganggap amanah rakyat sebagai hak peribadi.

Pemimpin yang benar-benar merdeka jiwanya tidak bertanya: “Apa yang aku boleh dapat daripada jawatan ini?” Sebaliknya beliau akan bertanya: “Apa yang boleh aku lakukan untuk rakyat sebelum amanah ini berakhir?” Itulah perbezaan antara memegang kuasa dengan memikul amanah.

Pemimpin yang benar-benar berintegriti tidak takut kepada audit, siasatan SPRM, soalan daripada rakyat, pengisytiharan kepentingan, mahupun semak dan imbang oleh pihak berkepentingan atau media sosial. Apa yang paling penting, beliau takut kepada Allah SWT dan tidak takut kepada undang-undang.

Beliau faham bahawa jawatan itu bersifat sementara, manakala amanah kekal dalam rekod sejarah. Hari ini berkuasa, esok mungkin tidak. Hari ini dipuji, esok mungkin dikritik. Namun, keputusan seorang pemimpin boleh memberi kesan kepada rakyat selama puluhan tahun.

Jangan Hanya Tanya Siapa Yang Rasuah

Kita mesti bertanya lebih jauh: Bagaimana ia boleh berlaku? Siapa yang sepatutnya mengawasi? Mengapa kawalan gagal? Mengapa konflik kepentingan tidak dikesan? Mengapa sistem membenarkan seseorang mempunyai ruang dan peluang untuk menyalahgunakan kuasa? Jika kes telah terbongkar, apakah yang telah berubah?

Hal inilah soalan yang sepatutnya dijawab oleh kerajaan, institusi, dan semua pihak yang memegang amanah. Ini kerana rakyat tidak hanya mahu melihat pesalah ditangkap semata-mata, tetapi mahu melihat sistem diperbaiki agar perbuatan jenayah itu tidak berulang.

Merdeka Daripada “Orang Kita”

Antara penyakit paling berbahaya dalam kehidupan awam ialah mentaliti “asalkan orang kita”. Jika orang kita salah, kita diam. Jika orang kita dikritik, kita pertahankan. Jika orang kita disiasat, kita anggap konspirasi. Jika orang kita didakwa di mahkamah, kita dakwa ia pendakwaan terpilih. Jika orang kita berkuasa, kita anggap semuanya wajar.

Mentaliti ini mesti kita memerdekakan. Kesetiaan kepada parti politik tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada negara. Kesetiaan kepada pemimpin tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada kebenaran dan keadilan. Kesetiaan kepada kelompok atau kroni tidak boleh mengatasi amanah kepada rakyat.

Kita sudah lama merdeka daripada penjajah, tetapi sudahkah kita merdeka daripada kerakusan? Mungkin inilah persoalan paling tajam sempena Hari Merdeka. Kita berjaya membebaskan negara daripada kuasa penjajah asing, akan tetapi kita masih berdepan dengan penjajahan yang lebih halus: Penjajahan oleh wang, kuasa, kronisme, kepentingan diri, dan budaya “asalkan aku dapat”.

Penjajah dahulu mengaut hasil dan sumber negara, tetapi jika pemimpin sendiri menyalahgunakan amanah, siapakah sekarang yang mengaut dana awam serta kekayaan negara? Siapakah yang sebenarnya merampas masa depan rakyat?

Jangan Hanya Laung “Merdeka!”

Pada 31 Ogos, kita mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik, dan mendengar ucapan tentang perjuangan masa lalu serta hala tuju masa depan Malaysia. Akan tetapi selepas semua itu selesai, satu soalan masih menunggu: Adakah jiwa kita juga sudah merdeka? Terutamanya mereka yang diberikan jawatan, pangkat, dan kuasa dalam pentadbiran kerajaan serta perkhidmatan awam.

Rakyat tidak memerlukan pemimpin yang hanya pandai bercakap, pandai berjanji, dan sering melaungkan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”. Rakyat memerlukan pemimpin yang mampu berkata: “Aku merdeka daripada rasuah. Aku merdeka daripada kerakusan mengumpul kekayaan secara haram. Aku merdeka daripada kronisme. Aku merdeka daripada kepentingan diri. Aku merdeka untuk memilih yang benar walaupun tiada siapa yang melihat.”

Itulah kemerdekaan sebenar. Perjuangan memerdekakan jiwa, institusi, dan sistem pemerintahan daripada rasuah masih belum selesai. Sebuah negara tidak menjadi hebat hanya kerana benderanya berkibar tinggi. Sebuah negara menjadi hebat apabila amanah dihormati, kuasa dikawal, undang-undang ditegakkan, dan rakyat tidak perlu takut kepada mereka yang memegang kuasa. Jadikanlah negara ini dikenali sebagai sebuah negara bebas rasuah, bukannya negara yang mengamalkan rasuah.

Kemerdekaan Sebenar Bermula Dalam Jiwa

Malaysia sudah merdeka daripada penjajahan, tetapi perjuangan belum selesai. Kita masih perlu memerdekakan negara daripada rasuah, memerdekakan institusi daripada campur tangan yang tidak wajar, memerdekakan pentadbiran daripada kronisme, memerdekakan keputusan daripada konflik kepentingan, dan yang paling utama: Memerdekakan jiwa manusia daripada kerakusan apabila diberikan kuasa.

Akhir sekali, persoalannya bukanlah “Berapa tahun Malaysia sudah merdeka?”, sebaliknya “Berapa jauh kita telah merdeka daripada perkara yang merosakkan negara?”.

Untuk mereka yang memegang amanah rakyat, soalan ini adalah lebih tajam: “Apabila negara sudah merdeka selama 69 tahun, apakah jiwa kamu juga telah merdeka?” Jangan hanya kibarkan Jalur Gemilang, kibarkan juga bendera integriti dalam jiwa. Kita memerlukan merdeka institusi, merdeka pemikiran, dan merdeka daripada rasuah. Paling utama ialah merdeka jiwanya.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Twentytwo13.