‘Apabila pelapor rasuah takut untuk dilindungi, jangan terus hukum sistem’

Kegagalan perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta 711 tidak sepatutnya terus dipersalahkan kepada sistem, sebaliknya ia berpunca daripada kekeliruan prosedur serta kurangnya keyakinan pelapor untuk tampil mendedahkan identiti secara formal.

‘Apabila pelapor rasuah takut untuk dilindungi, jangan terus hukum sistem’

Dalam satu kajian kes yang dibawa kepada perhatian umum oleh sebuah NGO, dikatakan seorang penjawat awam yang telah berkhidmat lebih 22 tahun mendakwa beliau mengalami tindakan yang memudaratkan selepas menyalurkan maklumat berkaitan beberapa isu yang dipercayainya mempunyai unsur perbuatan rasuah.

Antara perkara yang dikemukakan termasuk isu: arahan menandatangani Letter of Offer kosong; tuntutan yang didakwa palsu; dan melibatkan perolehan bernilai kira-kira RM94,500.00.

Dokumen yang dikemukakan juga termasuk surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menunjukkan aduan telah diterima serta dokumen jabatan yang mengklasifikasikan perkara berkenaan sebagai aduan berkaitan penyelewengan, salah laku atau rasuah.

Namun, sebelum kes tersebut dijadikan bukti bahawa negara gagal melindungi pemberi maklumat, terdapat beberapa soalan yang perlu dijawab:

Adakah beliau memohon perlindungan di bawah Akta 711?

  • Adakah identiti beliau telah diberikan kepada SPRM untuk tujuan mendapat perlindungan di bawah Akta 711?
  • Adakah beliau telah didaftarkan atau diberikan status perlindungan melalui mekanisme SPRM?
  • Bilakah perlindungan itu bermula?
  • Adakah tindakan yang didakwa sebagai tindakan balas berlaku selepas perlindungan diberikan?
  • Jika berlaku tindakan balas, adakah ia telah dilaporkan kepada SPRM?
  • Apakah tindakan yang telah diambil terhadap dakwaan tersebut?

Tanpa jawapan kepada persoalan ini, adalah terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa Akta 711 telah gagal.

Ramai pihak masih tidak faham atau salah faham

Saya ingin memperbetulkan banyak kesilapan dan salah faham berkaitan perlindungan pemberi maklumat (whistleblower) di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang dialami ramai pihak, termasuk NGO antirasuah.

Umum sedia maklum bahawa kerajaan khususnya melalui SPRM sering menyeru masyarakat supaya berani melaporkan rasuah dan pemberi maklumat akan dilindungi di bawah undang-undang Akta 711.

Akta 711 diwujudkan bagi menyediakan perlindungan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan kelakuan tidak wajar melalui saluran yang ditetapkan. SPRM pula mempunyai fungsi dan pegawai khusus berkaitan perlindungan pemberi maklumat.

Malah, SPRM mewujudkan Cawangan Perlindungan Pemberi Maklumat, Bahagian Siasatan SPRM khusus untuk menguatkuasakan Akta 711 bagi memastikan pemberi maklumat mendapat perlindungan sewajarnya di bawah akta tersebut.

Justeru, persoalan yang lebih tepat hari ini bukan lagi: “Adakah Malaysia mempunyai undang-undang untuk melindungi pemberi maklumat?” Jawapannya ialah ya. Persoalan yang lebih penting ialah: “Mengapa masih terdapat pemberi maklumat yang tidak mahu mendapatkan perlindungan formal walaupun mekanisme perlindungan telah disediakan?”

Pemberi maklumat berdepan satu dilema

Di sinilah terdapat satu dilema yang jarang dibincangkan secara terbuka. Seseorang mengetahui sesuatu yang dipercayainya sebagai rasuah. Dia mahu melaporkannya. Tetapi pada masa yang sama dia takut: “Bagaimana jika identiti saya diketahui?” “Bagaimana jika pihak yang saya laporkan mengetahui bahawa sayalah yang membuat laporan?” “Bagaimana jika saya dikenakan tekanan selepas laporan dibuat?” “Bagaimana jika saya kehilangan pekerjaan atau peluang kerjaya?”

Maka timbul keadaan yang agak paradoks: orang yang paling memerlukan perlindungan ialah orang yang paling takut untuk mendedahkan identitinya bagi mendapatkan perlindungan formal.

Mengapa identiti perlu diketahui?

Perkara ini perlu dijelaskan dengan adil. Pendedahan identiti kepada SPRM adalah dalam konteks mendapatkan perlindungan formal di bawah Akta 711 dan bukan semata-mata untuk membuka identiti pemberi maklumat kepada umum. Sebaliknya, identiti itu diperlukan supaya pihak berkuasa dapat mengenal pasti dengan jelas siapa pemberi maklumat yang dilindungi dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku tindakan yang memudaratkan terhadapnya.

Dengan mengetahui identiti dan kronologi pendedahan, pihak berkuasa lebih mudah menentukan: siapa pemberi maklumat? Bila laporan dibuat? Apakah maklumat yang diberikan? Bilakah perlindungan diberikan? Apakah tindakan yang berlaku selepas itu? Siapa yang mengambil tindakan tersebut? Adakah tindakan itu mempunyai kaitan dengan pendedahan yang dibuat?

Hal ini penting kerana perlindungan tidak sepatutnya hanya bermaksud: “Kami rahsiakan nama kamu.” Perlindungan juga perlu membolehkan tindakan diambil apabila berlaku tindakan yang memudaratkan atau tindakan balas yang tidak wajar.

Perlindungan bukan kekebalan

Perlindungan pemberi maklumat bukan bermaksud seseorang diberikan kekebalan daripada semua tindakan. Jika seseorang pemberi maklumat sendiri melakukan kesalahan, perkara tersebut masih boleh disiasat mengikut undang-undang yang berkenaan.

Perlindungan adalah untuk memastikan seseorang tidak menjadi mangsa tindakan balas semata-mata kerana membuat pendedahan yang dilindungi. Sebab itu status perlindungan amat penting.

Jangan samakan ‘membuat aduan’ dengan ‘mendapat perlindungan formal’

Hal ini mungkin salah satu kekeliruan terbesar dalam perbahasan mengenai whistleblower. Seseorang boleh membuat aduan atau laporan mengenai rasuah. Tetapi persoalan seterusnya ialah: apakah status aduan atau laporan tersebut di bawah Akta 711? Adakah ia merupakan pendedahan yang dibuat melalui mekanisme Akta 711? Adakah identiti pemberi maklumat telah dikenal pasti untuk tujuan perlindungan? Adakah beliau telah diberikan perlindungan? Apakah rekod yang menunjukkan status tersebut?

Jawapan kepada soalan-soalan ini amat penting sebelum kita membuat kesimpulan bahawa: “Akta 711 gagal melindungi pemberi maklumat.” Jika seseorang tidak menggunakan mekanisme perlindungan yang tersedia, kita perlu terlebih dahulu mengetahui mengapa beliau tidak menggunakannya.

Adakah masalah sebenarnya pada Akta 711?

Mungkin. Akan tetapi mungkin juga masalahnya berada pada perkara lain. Mungkin pemberi maklumat: tidak mengetahui haknya; tidak memahami prosedur; takut mendedahkan identiti; tidak mahu mendapatkan perlindungan formal; atau tidak yakin bahawa identitinya akan kekal selamat.

Kesemua kemungkinan ini perlu dikaji. Adalah tidak dinafikan bahawa terdapat cabaran dan halangan dalam pemakaian Akta 711, khususnya berkaitan perlindungan pemberi maklumat serta pembangunan saluran pemberian maklumat dan prosedur siasatan dalaman. Hal ini menunjukkan bahawa isu perlindungan pemberi maklumat memang merupakan isu yang memerlukan penambahbaikan berterusan.

Masalah sebenar mungkin adalah keyakinan

Undang-undang boleh memberikan perlindungan. Akan tetapi seseorang hanya akan menggunakan perlindungan tersebut jika dia percaya bahawa perlindungan itu benar-benar berfungsi. Hal inilah yang paling penting.

Jika seorang pekerja berfikir: “Kalau aku lapor, aku mungkin selamat,” dia mungkin berani tampil. Tetapi jika fikirannya: “Kalau aku lapor, identiti aku akan diketahui dan hidup aku mungkin musnah,” dia mungkin memilih untuk diam. Apabila orang yang mengetahui salah laku memilih untuk diam, rasuah menjadi lebih sukar dikesan dan akan terus menjalar dalam sistem dan masyarakat.

Apa yang perlu dilakukan?

Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah Malaysia (Intras) berpandangan bahawa isu ini perlu dilihat melalui dua sisi:

i. Tanggungjawab Pemberi Maklumat

Pemberi maklumat perlu memahami bahawa perlindungan formal mempunyai prosedur. Jika benar-benar bimbang akan tindakan balas, beliau perlu mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa mengenai: status perlindungan, haknya, bentuk perlindungan, saluran membuat aduan tindakan balas, dan apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku tindakan yang memudaratkan.

ii. Tanggungjawab Institusi

Agensi penguatkuasaan seperti SPRM pula perlu memastikan pemberi maklumat: memahami prosedur perlindungan; tahu bila perlindungan bermula; memahami hak dan tanggungjawabnya; mengetahui saluran membuat aduan tindakan balas; dan yakin bahawa maklumat peribadinya dikendalikan secara selamat. SPRM sendiri perlu meneruskan program kesedaran dan latihan khusus untuk pegawai awam, swasta, dan orang awam berkaitan perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta 711.

Prinsip yang paling penting. Jika seorang pemberi maklumat tidak mendapatkan perlindungan formal, kita jangan terus menyalahkannya. Mungkin dia takut. Mungkin dia tidak tahu. Mungkin prosedurnya tidak jelas baginya.

Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak seharusnya terus menyimpulkan bahawa sistem perlindungan negara gagal tanpa mengetahui sama ada mekanisme tersebut telah digunakan dan bagaimana SPRM bertindak selepas itu. Fakta mesti didahulukan. Status perlindungan mesti disahkan. Kronologi mesti dibina. Dakwaan mesti dibezakan daripada fakta yang telah disahkan.

Keberkesanan Akta 711 bukan hanya boleh dinilai dengan bertanya: “Adakah undang-undang perlindungan wujud?” Tetapi juga: “Adakah pemberi maklumat memahami perlindungan itu?” “Adakah mereka berani menggunakannya?” “Adakah mereka yakin untuk mendedahkan identiti kepada pihak yang bertanggungjawab mengendalikan perlindungan?” Apabila tindakan balas berlaku: “Adakah sistem bertindak pantas untuk melindungi mereka?”

Perlindungan mesti melahirkan keyakinan. Malaysia sudah mempunyai Akta 711. SPRM mempunyai mekanisme dan kepakaran khusus dalam perlindungan pemberi maklumat, dan program atau latihan berkaitan Akta 711 perlu terus dilaksanakan. Maka cabaran kita sekarang bukan sekadar menggubal undang-undang baharu. Cabaran sebenarnya ialah memastikan orang yang mengetahui rasuah yakin untuk menggunakan perlindungan yang telah disediakan. Hal ini kerana akhirnya, pemberi maklumat tidak hanya memerlukan undang-undang. Mereka memerlukan keyakinan bahawa undang-undang itu akan berdiri bersama mereka apabila mereka berani berkata benar.

Kepada pemberi maklumat pula, mesejnya juga jelas: jika mahu mendapatkan perlindungan formal, fahami prosedurnya, dedahkan identiti kepada pihak yang berkuasa mengendalikan perlindungan, dan pastikan status perlindungan anda jelas. Jangan sekadar melapor. Ketahui hak. Ketahui prosedur. Dapatkan perlindungan. Jika berlaku tindakan balas, gunakan saluran yang telah disediakan untuk mempertahankan hak tersebut. Hal ini kerana perjuangan membanteras rasuah bukan hanya tentang menangkap perasuah. Ia juga tentang memastikan orang yang berani membuka pintu kepada kebenaran tidak ditinggalkan bersendirian selepas pintu itu dibuka.