KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan sumbangan ekonomi digital mencecah 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan 2026–2030 dan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030).
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pendekatan itu bertujuan mempercepat penerimagunaan teknologi digital merentas pelbagai sektor ekonomi, menarik pelaburan berkualiti, serta memastikan manfaatnya dinikmati secara meluas oleh rakyat, masyarakat luar bandar, dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan peringkat dasar perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
“Bagi menyokong pertumbuhan ini, kerajaan menggalakkan pembangunan ekosistem teknologi mengikut kelebihan kawasan, seperti industri semikonduktor di Kulim Hi-Tech Park dan pelaburan strategik teknologi di Pulau Pinang,” kata Gobind.
“Perluasan jalur lebar menerusi inisiatif JENDELA oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut membolehkan penduduk luar bandar mengakses peluang ekonomi digital secara saksama.”
Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur digital, beliau memaklumkan bahawa Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) yang ditubuhkan pada Februari 2025 telah meluluskan 27 projek pusat data dengan anggaran nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM225.97 bilion.
Bagi memastikan pelaburan berskala besar ini memberikan limpahan ekonomi terus kepada syarikat tempatan, setiap projek yang diluluskan di bawah DCTF diwajibkan mematuhi syarat minimum 30 peratus kandungan tempatan.
“Syarat ini bertujuan memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, merangkumi perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan, rangkaian, dan penyelesaian teknologi. Pengendali pusat data juga digalakkan melaksanakan program pembangunan pembekal tempatan bagi meningkatkan pemindahan teknologi,” katanya.
Pemenuhan syarat kandungan tempatan berkenaan dipantau secara berkala oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi Laporan Pelaksanaan Projek Pusat Data setiap enam bulan.
Pembangunan pusat data negara juga dijangka mewujudkan 4,053 peluang pekerjaan baharu. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,523 merupakan jawatan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian, keselamatan siber, serta operasi pusat data.
Tambah Gobind, sebanyak 89.21 peratus daripada jawatan berkemahiran tinggi ini dijangka diisi oleh tenaga kerja tempatan.
Memandangkan pengoperasian pusat data memerlukan sumber yang tinggi, Gobind menegaskan bahawa pembangunan industri tersebut perlu mengambil kira kecekapan serta kemampanan bekalan tenaga dan air tanpa menjejaskan keperluan pengguna sedia ada.
Justeru, penjelarasan bersepadu dilaksanakan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi memastikan dasar serta kapasiti infrastruktur saling melengkapi.
“DCTF akan terus menyelaras pemantauan bersama agensi teknikal bagi memastikan pematuhan syarat kelulusan projek, terutamanya kecukupan bekalan dan kecekapan penggunaan sumber.
“Kejayaan industri ini bukan sahaja dinilai berdasarkan nilai pelaburan yang dibawa masuk, tetapi juga sumbangannya kepada ekonomi negara tanpa menjejaskan keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya.