Pengampunan Diraja bukan pembebasan: Mengapa kes Najib Razak terus menjadi polemik?

Pengampunan diraja dan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah pengurangan hukuman yang sah di sisi perlembagaan, bukannya pembebasan mutlak mahupun pengecualian daripada prinsip kedaulatan undang-undang dan akauntabiliti.

Pengampunan Diraja bukan pembebasan: Mengapa kes Najib Razak terus menjadi polemik?

Isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, terus menjadi perhatian dan perdebatan masyarakat.

Walaupun kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong, persoalan yang timbul ialah mengapa keputusan tersebut terus menjadi polemik sehingga mencetuskan pelbagai pandangan, kritikan dan perbahasan dalam kalangan ahli politik dan masyarakat? Persoalan ini wajar dibincangkan secara rasional dan berlandaskan undang-undang, bukannya didorong oleh sentimen politik, sokongan peribadi atau kebencian terhadap mana-mana individu.

Hakikatnya, pengampunan diraja bukanlah sesuatu yang asing dalam sistem perundangan negara. Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman bagi kesalahan tertentu. Kuasa ini merupakan sebahagian daripada mekanisme perlembagaan yang perlu dihormati. Namun begitu, menghormati kuasa pengampunan tidak bermaksud masyarakat tidak boleh bertanya, menilai implikasi atau membincangkan pelaksanaannya secara terbuka dan berhemah.

Pengampunan bukan bermaksud sabitan terhapus

Perkara paling penting yang perlu difahami ialah perbezaan antara pengampunan, pengurangan hukuman dan pembebasan daripada hukuman. Dalam kes SRC International, Najib telah disabitkan oleh mahkamah dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta telah dikenakan. Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan pengurangan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta. Keputusan tersebut diumumkan pada 2 Februari 2024.

Hal ini merupakan pengurangan hukuman, bukannya pembatalan sabitan oleh mahkamah. Dengan kata lain, keputusan pengampunan tersebut tidak menjadikan sabitan asal seolah-olah tidak pernah berlaku. Perkembangan seterusnya pada 18 September 2026 menyaksikan pengampunan bersyarat yang membolehkan baki hukuman penjara bagi kes SRC International dijalani melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Pada 10 November 2026, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah baharu bagi membolehkan pelaksanaan tahanan rumah tersebut. Perkembangan ini menunjukkan bahawa isu berkenaan bukan lagi sekadar perdebatan mengenai kuasa pengampunan, tetapi turut melibatkan persoalan tafsiran, prosedur dan pelaksanaan keputusan dalam kerangka undang-undang. Oleh itu, tidak tepat untuk menyamakan pengampunan bersyarat dan tahanan rumah dengan pembebasan sepenuhnya daripada hukuman.

Mengapa keputusan ini terus dipersoalkan?

Persoalan yang lebih besar ialah mengapa keputusan pengampunan terhadap seorang bekas pemimpin tertinggi negara terus menimbulkan perbezaan pandangan dalam masyarakat? Antara faktor yang boleh menjelaskan polemik ini ialah persepsi tentang kesamarataan di sisi undang-undang. Masyarakat mahu melihat bahawa prinsip keadilan terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh atau kekayaan.

Apabila seseorang yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan diberikan pengurangan hukuman dan kemudiannya dibenarkan menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah, sudah tentu timbul persoalan tentang bagaimana keputusan tersebut difahami dalam konteks keadilan dan kepentingan awam.

Namun, persoalan ini perlu dibincangkan secara objektif. Kuasa pengampunan yang diberikan oleh Perlembagaan tidak boleh dinafikan hanya kerana keputusan itu tidak disenangi oleh sebahagian masyarakat. Pada masa yang sama, penggunaan kuasa tersebut juga tidak seharusnya menghalang perbahasan yang sah tentang ketelusan proses, prinsip kesamarataan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Kedaulatan undang-undang mesti dihormati

Dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, setiap institusi mempunyai bidang kuasa dan tanggungjawab tersendiri. Kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan perlu dihormati sebagaimana keputusan mahkamah dan proses perundangan juga perlu dihormati. Pelaksanaan sesuatu keputusan mestilah dibuat mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur yang sah.

Kita tidak seharusnya membina persepsi bahawa sesuatu keputusan hanya perlu dihormati apabila ia memihak kepada kumpulan atau individu yang kita sokong. Prinsip kedaulatan undang-undang menuntut supaya semua pihak menghormati proses perlembagaan, termasuk apabila sesuatu keputusan tidak selari dengan pandangan atau kehendak peribadi mereka.

Dalam masa yang sama, institusi berkaitan perlu memastikan setiap keputusan dapat difahami oleh masyarakat melalui penjelasan yang jelas dan tepat. Kekeliruan tentang sesuatu keputusan boleh membuka ruang kepada spekulasi, salah faham dan ketidakpercayaan terhadap institusi negara.

Jangan kelirukan pengampunan dengan kekebalan undang-undang

Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah pengampunan dalam kes SRC International tidak secara automatik menghapuskan kedudukan kes-kes lain yang melibatkan Najib. Najib turut berhadapan dengan hukuman berasingan dalam kes 1MDB, yang mempunyai proses perundangan dan rayuan tersendiri. Oleh itu, pengampunan atau peringanan hukuman dalam satu kes tidak boleh dianggap sebagai pembebasan menyeluruh daripada semua tanggungjawab undang-undang. Perbezaan ini penting supaya masyarakat tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap.

Prinsipnya mudah: Pengampunan diraja bukan lesen untuk seseorang terlepas daripada semua proses undang-undang, dan bukan juga bermaksud seseorang mendapat kekebalan daripada pertanggungjawaban terhadap kesalahan lain.

Keadilan bukan sahaja dilaksanakan, tetapi perlu diyakini

Pada akhirnya, isu ini bukan sekadar mengenai Najib, tetapi turut menyentuh keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan, institusi Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Kita perlu membezakan antara menghormati institusi dengan menghalang masyarakat daripada mengemukakan persoalan. Kedua-duanya tidak bercanggah. Institusi yang dihormati juga perlu berfungsi dalam kerangka perlembagaan dan undang-undang yang difahami oleh rakyat.

Dalam konteks integriti dan kepimpinan, pengajaran yang lebih besar ialah seseorang pemimpin perlu sentiasa sedar bahawa kuasa dan kedudukan datang bersama amanah serta tanggungjawab. Jawatan tinggi tidak seharusnya menjadikan seseorang berada di luar jangkaan prinsip akauntabiliti. Pengampunan merupakan ruang yang dibenarkan oleh Perlembagaan, manakala keadilan dan akauntabiliti pula merupakan asas penting dalam membina keyakinan rakyat.

Pengampunan diraja bukan pembebasan daripada semua tanggungjawab undang-undang. Ia merupakan kuasa perlembagaan yang mempunyai ruang lingkup dan kesan tertentu. Apa yang lebih penting ialah memastikan pelaksanaannya sentiasa selaras dengan undang-undang, difahami oleh masyarakat dan tidak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap prinsip kesamarataan. Dalam negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, tiada siapa seharusnya dianggap berada di atas undang-undang.

Pada masa yang sama, tiada siapa juga boleh menafikan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan. Kedua-dua prinsip ini mesti berjalan seiring demi keadilan dan keutuhan institusi negara.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Twentytwo13.

Gambar: Najib Razak/Facebook