Siapa yang memaksa Menteri Besar Negeri Sembilan tandatangan dokumen proklamasi turunkan Tuanku Muhriz?

Datuk Ismail Lasim telah membuat laporan polis semalam setelah dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Namun, beliau tidak mendedahkan pihak mana yang telah memaksa beliau untuk menandatangani dokumen tersebut.

Siapa yang memaksa Menteri Besar Negeri Sembilan tandatangan dokumen proklamasi turunkan Tuanku Muhriz?

SEREMBAN: Krisis adat dan perlembagaan di Negeri Sembilan sekali lagi menjadi tumpuan hari ini apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendedahkan bahawa dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang beliau tandatangani seperti tular dibuat tanpa rela hatinya.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara (Proklamasi) tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress),” kata Ismail yang baharu sahaja memikul tugas sebagai menteri besar selama 39 hari.

“Saya telah membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang pada 8 September 2026 (semalam) bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kerajaan Negeri Sembilan berpendirian bahawa Surat Cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS). Oleh itu, ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan Ismail tidak mendedahkan siapa yang telah memaksanya untuk menandatangan surat proklamasi tersebut, sekaligus mendatangkan persoalan siapakah sebenarnya yang memaksanya untuk menandatangani dokument tersebut.

Ismail yang juga ADUN Juasseh mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos di hadapan Tuanku Muhriz selepas Barisan Nasional (BN) dan PN melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dengan memperoleh 25 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga berbanding Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 11 kerusi.

Pada 6 September, Sekretariat Undang Yang Empat mengeluarkan kenyataan berkaitan Sidang Khas Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Kenyataan itu ditandatangani Undang Luak Sungei Ujong yang diberhentikan, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Al-Qadri dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abd Khalid.

Dalam kenyataan itu, mereka menuntut pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, mematuhi proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz yang didakwa ditandatangani Ismail, di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.

Ismail pula dalam kenyataan kemudian menzahirkan sokongan penuh dan taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Dalam kenyataan itu, Ismail menegaskan beliau mengambil maklum kenyataan media dikeluarkan Undang Yang Empat berkenaan, namun menegaskan fokusnya ketika ini adalah melaksanakan amanah demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Fokus saya kini adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Krisis membabitkan institusi adat itu mula tercetus pada bulan April, apabila Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Undang Yang Empat kemudian menggunakan kuasa mereka untuk memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka, pada 5 Jun.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga pada 5 Jun, menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 5 Tahun 2026 yang bersidang malam tadi, antara lain membincangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pendamai sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.

“Kerajaan negeri perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.

“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang sah dan berdaulat,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan hari ini, Undang Luak Sungei Ujong, Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari menegaskan bahawa proklamasi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ditandatangani Ismail, di Laguna Biru Port Dickson pada 3 Ogos lalu adalah tidak sah dan tidak boleh berkuatkuasa.

Beliau berkata, sidang Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah memuktamadkan pengisytiharan bertarikh 19 April 2026 itu tiada kesan undang-undang dan tidak boleh diguna pakai kerana tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

“Seyogia diingatkan tiga daripada Undang Empat yang cuba menurunkan DYMM Tuanku Muhriz langsung tiada kuasa sebagai Pembesar Memerintah bagi negeri lantaran telah lucut pesaka mengikut adat luak masing-masing.

“Ditegaskan, apa-apa juga hal berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika ini hendaklah ada sabda Kita selaku Imam Undang Yang Empat,” kata Muhammad Faris.

Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid turut menyatakan bahawa kedudukan Tuanku Muhriz di atas takhta Negeri Sembilan adalah sah, sempurna dan tidak tergugat oleh mana-mana dokumen, sidang media atau dakwaan sebelah pihak.

Berhubung pendedahan dokumen proklamasi oleh Maarof semalam, Hassan berkata, Luak Rembau di bawah pentadbirannya kekal menjunjung, mengiktiraf dan berdiri teguh di belakang Tuanku Muhriz sambil menegaskan kedudukan baginda di atas takhta Negeri Sembilan adalah sah, sempurna dan tidak tergugat oleh mana-mana dokumen, sidang media atau dakwaan sebelah pihak.

“Tidak ada sebarang keraguan dan tafsiran, itulah pendirian Luak Rembau. Kami menegaskan dokumen berkenaan cacat pada asasnya, tidak berkuat kuasa dan tidak boleh dijadikan sandaran.

“Persoalan mengenai proses, kapasiti dan pematuhan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UTKNS) 1959 masih tidak dipenuhi,” katanya.

Hassan berkata, setakat pengetahuannya, baginda tidak pernah melalui proses penyiasatan, dikemukakan pertuduhan secara formal atau diberikan ruang untuk menjawab dan mempertahankan kedudukan baginda.

Katanya, Luak Rembau menolak sekeras-kerasnya sebarang representasi oleh Abdul Rahim Yasin kerana tidak mempunyai mandat, kapasiti atau mewakili Luak Rembau. Abdul Rahim sebelum ini dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau tetapi sudah digugurkan.

“Pentadbiran kami mengambil maklum perintah mahkamah berhubung status quo perjalanan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta keputusan pengguguran Undang terdahulu dan pengesahan penyandang Undang baharu.

“Apa-apa tindakan dan persetujuan beliau atas nama Undang Luak Rembau tidak sah dan tidak mengikat Luak Rembau.

“Kami menyeru seluruh anak-anak Luak Rembau dan rakyat Negeri Sembilan supaya terus menghormati undang-undang, adat dan institusi Diraja Negeri Sembilan,” katanya.