‘Tahanan rumah atau penjara: Rasuah tetap jenayah’

Pelaksanaan hukuman secara tahanan rumah tidak menghapuskan sabitan jenayah rasuah atau kelonggaran ke atas kesalahan tersebut, sebaliknya kekal sebagai satu bentuk pengajaran, akauntabiliti, dan mesej pencegahan yang tegas kepada masyarakat.

‘Tahanan rumah atau penjara: Rasuah tetap jenayah’

Pada 18 September 2026, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Ia tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat-syarat yang ditetapkan. Jika syarat pengampunan dilanggar, baki hukuman perlu diteruskan di penjara.

Najib, yang merupakan bekas perdana menteri, telah menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 selepas sabitan dalam kes SRC International dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Keputusan terbaharu ini membuka semula satu persoalan penting dalam masyarakat: Adakah seseorang yang menjalani hukuman di rumah tidak lagi dianggap sebagai pesalah yang telah disabitkan?

Jawapannya perlu dilihat dengan membezakan antara sabitan, hukuman dan cara hukuman dilaksanakan. Maka, perkara paling asas yang perlu difahami ialah: Tahanan rumah bukan bermakna sabitan terhapus.

Masyarakat tidak seharusnya menggunakan lokasi seseorang menjalani hukuman sebagai ukuran sama ada seseorang itu telah disabitkan atau tidak.

Penjara ialah salah satu tempat pelaksanaan hukuman. Tahanan rumah pula, dalam keadaan yang dibenarkan melalui mekanisme yang sah, merupakan kaedah pelaksanaan baki hukuman tertakluk kepada syarat.

Hal ini bermaksud, penjara ialah tempat atau kaedah seseorang menjalani hukuman, manakala sabitan ialah keputusan mahkamah bahawa seseorang itu bersalah terhadap kesalahan yang dipertuduhkan.

Begitu juga, jika seseorang yang telah disabitkan dibenarkan menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah, itu tidak bermaksud sabitan jenayahnya terhapus atau dia dianggap tidak bersalah. Yang perlu dibezakan ialah keputusan mahkamah terhadap kesalahan dengan cara hukuman tersebut dilaksanakan.

Dalam kes Najib, keputusan terbaharu tidak boleh difahami secara mudah sebagai mengatakan bahawa kesalahan yang telah diputuskan mahkamah tidak pernah berlaku. Sebaliknya, pengumuman rasmi menyatakan bahawa beliau dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah dengan syarat tertentu.

Hal ini menunjukkan bahawa isu yang berlaku ialah perubahan kepada cara baki hukuman dilaksanakan, bukan satu kenyataan bahawa beliau tidak pernah disabitkan.

Perbezaan ini penting kerana dalam pendidikan antirasuah, mesej yang disampaikan kepada generasi akan datang mestilah jelas.

Rasuah tetap membawa seseorang ke muka pengadilan. Rasuah tetap boleh membawa kepada sabitan. Rasuah tetap boleh membawa hukuman dan akibatnya boleh berpanjangan.

Tetap menjadi pengajaran kepada perasuah

Di sinilah nilai pencegahan perlu dilihat. Seseorang yang mempertimbangkan untuk menerima suapan mungkin hanya melihat keuntungan yang akan diperoleh.

Tetapi kes-kes rasuah menunjukkan bahawa seseorang boleh berdepan dengan proses yang panjang: iaitu proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pertuduhan, perbicaraan kes di mahkamah, serta sabitan hukuman oleh mahkamah. Maka apabila dihukum, pesalah akan kehilangan kebebasan, reputasi dan kepercayaan orang awam.

Sama ada hukuman akhirnya dijalani di penjara atau melalui kaedah lain yang dibenarkan, proses pertanggungjawaban itu sendiri merupakan satu pengajaran. Sebab itu, mesej kepada bakal perasuah tidak seharusnya: “Kalau tertangkap, mungkin masih boleh hidup selesa.”

Sebaliknya: “Jangan ambil rasuah kerana akibatnya boleh mengubah seluruh kehidupan anda.”

Jangan normalisasikan rasuah

Bahaya terbesar bukan hanya apabila rasuah berlaku. Bahaya yang lebih besar ialah apabila masyarakat mula menganggap rasuah sebagai sesuatu yang biasa, boleh diterima atau sekadar satu risiko dalam mendapatkan kekayaan dan kuasa. Persepsi seperti itu perlu ditolak.

Rasuah bukan sekadar mengambil wang, ia adalah penyalahgunaan amanah dan kuasa yang boleh merosakkan kepercayaan terhadap institusi negara.

Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pemegang jawatan tinggi, masyarakat mempunyai hak untuk melihat bahawa prinsip akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang terus dihati.

Hal ini bermakna, bagi kes-kes rasuah, termasuk kes 1MDB yang masih berjalan melibatkan Najib, perlu diteruskan mengikut proses undang-undang.

Jangan ukur kesan rasuah berdasarkan lokasi hukuman

Perdebatan tentang tahanan rumah dan penjara tidak seharusnya menghilangkan persoalan yang lebih besar: Apakah pengajaran yang mahu kita tinggalkan kepada generasi akan datang?

Jika seorang pegawai, pemimpin atau pegawai awam melihat wang suapan sebagai jalan mudah untuk menjadi kaya, dia perlu sedar bahawa wang tersebut datang bersama risiko kehilangan sesuatu yang jauh lebih bernilai: hilang amanah, maruah, reputasi, kepercayaan dan akhirnya, kebebasan diri.

Pengajaran untuk semua

Kes Najib juga mengingatkan kita bahawa perjuangan membanteras rasuah tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman selepas jenayah berlaku.

Pencegahan mesti bermula lebih awal. Di sekolah perlu diajar tentang amanah. Di universiti perlu dibina keberanian moral. Dalam organisasi perlu diwujudkan kawalan dan tadbir urus yang berkesan. Dalam sektor awam dan swasta perlu diperkukuh sistem pengesanan serta pelaporan. Lebih penting dalam kepemimpinan kerajaan, integriti mesti menjadi asas kepada penggunaan kuasa.

Hal ini kerana apabila seseorang sudah berada di hadapan mahkamah, kerosakan mungkin telah berlaku.

Pencegahan lebih baik daripada hukuman

Tahanan rumah atau penjara bukanlah perkara utama yang perlu menjadi ukuran dalam perjuangan membanteras rasuah. Yang lebih penting ialah memastikan setiap orang memahami bahawa rasuah mempunyai akibat undang-undang, sosial dan moral.

Kes Najib menjadi satu lagi peringatan bahawa seseorang yang berdepan sabitan jenayah boleh melalui proses hukuman yang panjang dan pelbagai bentuk pelaksanaan hukuman.

Namun, bagi masyarakat dan khususnya bakal perasuah, pengajaran yang perlu diambil amat jelas: Jangan kejar keuntungan yang haram hingga kehilangan amanah yang berharga.

Jangan anggap kuasa sebagai kekebalan. Jangan anggap rasuah sebagai risiko yang berbaloi.

Hal ini kerana akhirnya, penjara atau tahanan rumah, rasuah tetap jenayah.

Sabitan tetap sabitan dan kesannya tetap menjadi pengajaran.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Twentytwo13.