2,097 pegawai, anggota PDRM ditahan kes dadah, samun dan rasuah sejak 2021

Seramai 2,097 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah bagi tempoh 2021 hingga Ogos 2026.

2,097 pegawai, anggota PDRM ditahan kes dadah, samun dan rasuah sejak 2021

KUALA LUMPUR: Seramai 2,097 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditangkap atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah, samun serta rasuah bagi tempoh antara tahun 2021 hingga Ogos lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah berkenaan merangkumi 1,551 orang bagi kesalahan dadah, 64 orang bagi kesalahan samun dan 482 orang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bagi kesalahan dadah, seramai 1,551 warga PDRM ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tempoh 2021 hingga Ogos 2026,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) berhubung statistik salah guna kuasa dan penglibatan jenayah dalam kalangan warga PDRM sejak 2021.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, pecahan tangkapan kes dadah mencatatkan 357 orang pada 2021, diikuti 248 orang (2022), 245 orang (2023), 310 orang (2024), 256 orang (2025) dan 135 orang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

Bagi kesalahan samun pula, seramai 64 warga PDRM ditangkap dalam tempoh sama dengan pecahan 10 orang pada 2021, 10 orang (2022), 11 orang (2023), 13 orang (2024), 10 orang (2025) dan 10 orang sehingga Ogos tahun ini.

Sementara itu, tangkapan oleh SPRM melibatkan 482 warga PDRM iaitu 77 orang pada 2021, 86 orang (2022), 129 orang (2023), 53 orang (2024), 87 orang (2025) dan 50 orang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.

Dalam pada itu, menyentuh kes samun berprofil tinggi melibatkan 12 anggota polis terhadap sekumpulan warga China di Country Heights, Kajang pada 5 Februari lalu, Saifuddin menegaskan kertas siasatan telah dibuka.

“PDRM sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes tersebut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.