Twentytwo13

Kemelut Fifa-FAM: Persoalan tidak terjawab, ejen masih misteri, tujuh pemain warisan terus membisu

Lebih sebulan telah berlalu. Namun pelbagai persoalan berkaitan isu pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi melibatkan tujuh pemain ‘warisan’ Malaysia masih belum terjawab.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang gah dengan pengurusan pasukan kebangsaan “bertaraf dunia” telah dikenakan sekatan oleh Fifa. FAM menerima keputusan rayuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) pada 3 November, di mana rayuannya berhubung kes pemalsuan dokumen telah ditolak. FAM menyatakan bahawa pihak peguam serta pengurusannya “amat terkejut” dengan keputusan tersebut.

Ramai juga terkejut apabila melihat setiausaha agung FAM menghadiri acara Fifa pada 26 Oktober, semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur, walaupun beliau digantung tugas pada 17 Oktober.

Ada pula yang terkejut FAM bertegas ingin merujuk kes ini kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Tapi buat penulis ini, tiada apa-apa yang mengejutkannya lagi.

Pada tahun 2009, Malaysia menjadi hos kepada pasukan kebangsaan Zimbabwe untuk dua perlawanan persahabatan.

Sejurus selepas perlawanan pertama, saya mendedahkan bahawa pasukan Zimbabwe itu sebenarnya adalah pasukan kelab Monomotapa United FC. Malaysia memenangi kedua-dua perlawanan 4-0 dan 1-0. Namun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghadapi kesukaran untuk mengakui mereka bermain dengan sebuah kelab, dan bukannya pasukan kebangsaan.

Sememangnya, terdapat penafian daripada FAM berikutan pendedahan saya. Sebaliknya, Persatuan Bola Sepak Zimbabwe melancarkan siasatan dalaman dan memecat ketua pegawai eksekutifnya Henrietta Rushwaya. Beberapa pemain dan pegawai juga dihukum.

Hanya pada ketika itu barulah FAM menyedari mereka telah ditipu.

Pada tahun 2015, saya mendedahkan seorang pegawai tinggi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberitahu rakan sekerjanya untuk “melindungi” beliau sebelum bertanya “bolehkah anda mengubah atau menyembunyikan dokumen yang berkaitan dengan saya?” Ia adalah semasa audit dalaman 2012 yang dicetuskan oleh dakwaan amalan rasuah oleh presiden AFC ketika itu, Mohammad Hammam. AFC melancarkan siasatan dalaman, dan pegawai tersebut akhirnya meletak jawatan.

Mengambil iktibar daripada episod terdahulu yang melibatkan Monomotapa United dan AFC, persoalan yang wujud sekarang ialah – Adakah sesiapa akan dipecat atau mengundur diri dari FAM?

Sebaliknya, terdapat desas-desus bahawa individu-individu tertentu ingin terus kekal dalam FAM. Sudah tentunya ramai akan terkejut jika mereka dibenarkan untuk terus berkuasa di Wisma FAM. Adakah ahli gabungan FAM akan menyokong langkah tersebut?

Tujuh pemain ‘warisan’ telah digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan. Ini akan menjejaskan kerjaya mereka. Adakah mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap FAM atau ejen mereka?

Sehingga kini, identiti ejen yang mewakili pemain warisan tersebut masih menjadi misteri. Tujuh pemain warisan ini juga belum tampil mahupun berhadapan dengan pihak media tempatan untuk menjelaskan situasi sebenar. Masih tidak jelas sama ada mereka benar-benar memahami perkataan “pemalsuan, dan dokumentasi yang diubahsuai” dan impak keputusan Fifa.

Isu ini melangkaui sukan. Ia kini mempunyai unsur jenayah.

Adakah rakan sepasukan kebangsaan tujuh pemain warisan tersebut tahu mengenai susur galur mereka? Tidakkah pemain-pemain kebangsaan yang lain terkejut dengan proses pintas yang telah membolehkan tujuh pemain warisan tersebut menyarung jersi negara?

FAM masih berkeras untuk membawa perkara ini ke CAS. Namun, siapa yang akan menanggung kosnya? Adakah wang itu akan datang daripada RM15 juta yang diperuntukkan kepada pasukan kebangsaan dalam Belanjawan 2025? Adakah perincian penggunaan wang pembayar cukai akan dibentangkan di Parlimen?

Menyetuh tentang peruntukan dana oleh kerajaan Madani, adakah peruntukkan tambahan RM15 juta daripada sektor swasta, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 tahun lalu, telah disalurkan kepada FAM? Syarikat mana yang menyediakan tambahan dana itu?

Tidak dapat dinafikan, keputusan Fifa terbaharu akan merisaukan para penaja bola sepak tempatan. Tiada bank, mahupun syarikat korporat, yang ingin dikaitkan dengan organisasi yang dituduh mengemukakan dokumentasi palsu. Apakah pelan FAM sekiranya penaja menarik diri?

Rakyat Malaysia rata-rata masih terkejut bagaimana tujuh pemain warisan itu memperoleh kewarganegaraan mereka dalam hanya empat bulan (permohonan dibuat pada Januari, kewarganegaraan diberikan pada Mei 2025). Adakah ahli-ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang akan terus membuat gesaan untuk menuntut jawapan?

Ada yang khuatir episod ini akan dilupakan. Ada juga pihak tertentu yang akan memperkecilkan isu ini, dan menyatakan bahawa ‘reset’ yang mungkin berlaku dalam badan induk bola sepak negara hanyalah wayang semata-mata.

Bola sepak Malaysia telah menerima tamparan hebat. Imej negara tercalar.

Hakikatnya, jangan terkejut jika mangsa sebenar dalam isu ini ialah peminat bola sepak tempatan dan rakyat Malaysia sendiri.