Isu aset Felda di London: Ahmad Shabery bimbang PM disalah nasihat

Bekas pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menyuarakan kebimbangan bahawa Perdana Menteri mungkin menerima maklumat tidak tepat berhubung isu cadangan penjualan aset hotel milik Felda di London. Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang permohonan penjualan dibuat sepanjang tempoh perkhidmatannya di agensi berkenaan.

Isu aset Felda di London: Ahmad Shabery bimbang PM disalah nasihat

KUALA LUMPUR: Tempoh perkhidmatan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berakhir secara rasmi pada 30 Jun lalu.

Namun, pengumuman mengenainya hanya dibuat pada 14 Julai. Hal ini demikian kerana, sejurus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada 11 Julai, pihak Felda dimaklumkan seawal keesokan harinya bahawa permohonan lanjutan masa untuk mengekalkan Ahmad Shabery tidak diterima dan perkhidmatannya ditamatkan.

Ahmad Shabery merupakan seorang pemimpin veteran Umno, dan pelantikan jawatan utama di Felda memerlukan restu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memimpin PKR. Pada PRN Johor, PKR hanya berjaya memenangi satu daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, manakala Umnp memenangi 36 daripada 37 kerusi yang ditandingi.

Kini, nama Ahmad Shabery pula terpalit dengan isu berhubung cadangan penjualan hotel milik Felda di London.

Ahmad Shabery bukanlah asing bagi Anwar. Beliau ialah rakan lama Perdana Menteri. Kedua-duanya melalui ‘sekolah’ politik yang sama di dalam Umno dan mempunyai latar belakang penentangan arus yang hampir serupa.

Ahmad Shabery pernah menyertai Parti Semangat 46 sebelum kembali ke pangkuan Umno, manakala Anwar pula mengasaskan PKR selepas dipecat daripada Umno. Kedua-dua tokoh ini juga pernah berdebat secara langsung di kaca televisyen pada tahun 2008.

Mengimbas peribahasa Inggeris, “better the devil you know than the devil you don’t know” (lebih baik berurusan dengan pihak yang sudah dikenali), berkemungkinan faktor inilah yang mendorong Anwar untuk menyerahkan jawatan ‘panas’ tersebut kepada Ahmad Shabery pada tahun 2023.

Daripada keseluruhan 56 kawasan DUN di Johor, sekitar 20 kawasan mempunyai pengundi peneroka Felda. Hakikatnya, warga Felda lebih mudah menerima wakil daripada Umno, sebagaimana situasi di Majlis Amanah Rakyat. Hal ini disebabkan majoriti peneroka sudah sebati dengan landskap politik serta kepimpinan Umno.

Percaturan itu ternyata memberi kelebihan kepada Umno dan BN.

Beralih kepada isu hotel Felda, Ahmad Shabery meluahkan kebimbangan bahawa Anwar mungkin menerima maklumat yang kurang tepat berhubung cadangan penjualan aset milik agensi berkenaan di London.

Ahmad Shabery berkata, sepanjang tempoh beliau memegang jawatan di Felda sehingga akhir Jun lalu, tiada sebarang permohonan dikemukakan bagi menjual hotel milik agensi berkenaan di London.

“Tidak ada satu pun permohonan untuk menjual hotel Felda di London dibuat semasa saya berkhidmat di Felda. Saya tidak pastilah jika ada usaha sedemikian dibuat selepas saya meninggalkan Felda pada akhir Jun lalu.

“Lagipun, Felda mempunyai empat aset hartanah di sana, iaitu dua buah hotel dan dua premis kediaman pelajar,” katanya.

Beliau menjelaskan, setahunya tidak ada satu pun daripada empat hartanah berkenaan dibeli secara berasingan pada harga £160 juta. Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan enggan menandatangani dokumen kelulusan penjualan sebuah hotel milik Felda selepas mendapati aset itu dicadangkan untuk dijual pada harga £100 juta, berbanding harga belian asal yang didakwa bernilai £160 juta.

“Setahu saya, tiada satu pun yang dibeli secara tunggal dengan harga £160 juta sterling,” tegasnya.

Ahmad Shabery berkata, perkara itu menimbulkan kebimbangan sekiranya maklumat yang diterima oleh Perdana Menteri tidak menggambarkan kedudukan sebenar portfolio hartanah Felda di London.

“Saya bimbang PM disalah nasihat atau ada pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Ahmad Shabery turut menjelaskan bahawa cadangan penjualan aset Felda adalah tertakluk kepada arahan daripada pihak kerajaan sendiri, termasuk Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri.

“Penjualan aset adalah arahan daripada pihak atasan, iaitu Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri. Ini merupakan langkah standard kerajaan,” jelas beliau lagi.

Jika pihak lain berada di tempatnya, mereka mungkin memilih untuk mempertahankan diri secara agresif. Namun, Ahmad Shabery memilih pendekatan yang lebih diplomatik. Mungkinkah beliau masih menghargai tali persahabatannya dengan Anwar, atau sememangnya itulah peribadi Ahmad Shabery yang tidak gemar memburu perhatian?

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, kedudukan empat aset Felda di London perlu diperincikan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan antara nilai hartanah secara individu dengan nilai keseluruhan portfolio berkenaan.

Berbekalkan latar belakang dalam bidang ekonomi, Ahmad Shabery sentiasa melihat potensi serta nilai dalam sesebuah pelaburan. Beliau pernah menterjemahkan potensi industri sukan ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan, selain memelopori ‘diplomasi durian’ bagi menembusi pasaran China semasa menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau juga memahami nilai hartanah yang dimiliki Felda — sebahagian daripadanya menjana keuntungan, manakala sebahagian lagi sekadar menjadi ‘gajah putih’.

Namun begitu, dapat dilihat beliau lebih menghargai hubungan sesama manusia, termasuk dengan Anwar, dan enggan terheret dalam kemelut perselisihan ekoran perbezaan politik.