KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk melihat pelantikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang baharu sebagai sebahagian daripada agenda penting reformasi keselamatan serta pengukuhan integriti negara.
Presiden Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah Malaysia, Datuk Mohamad Fauzi Husin berkata, kelemahan kawalan walaupun hanya di satu pintu masuk boleh membuka ruang kepada sindiket untuk mengeksploitasi keseluruhan sistem keselamatan negara.
Justeru, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan pemilihan ketua pengarah baharu itu dibuat berdasarkan merit, integriti, pengalaman, kompetensi dan keupayaan melaksanakan reformasi, tertakluk kepada proses pelantikan yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Pada masa yang sama, kerajaan perlu memperkukuh sistem pengawasan, meningkatkan kebajikan dan profesionalisme anggota serta memastikan setiap pintu masuk mempunyai kawalan yang berkesan.
“Kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada kekuatan tenteranya atau kecanggihan teknologi keselamatannya, tetapi juga pada integriti mereka yang diberikan amanah untuk menjaga pintu masuk negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Fauzi berpendapat sesebuah negara boleh membina tembok, memasang kamera dan membeli peralatan pemeriksaan yang canggih, namun sekiranya manusia yang mengendalikan sistem tersebut boleh dibeli dengan wang, segala usaha berkenaan akan menjadi sia-sia.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dilaporkan kembali menjalankan tugas selepas bercuti selama seminggu.
Sebelum ini, pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua anggota Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 September.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 29 Oktober memberitahu bahawa kementeriannya mengambil keputusan mengembalikan Shuhaily — yang berkhidmat dalam kontrak pinjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS — kepada PDRM.
Semalam, Saifuddin turut memaklumkan pihak media bahawa belum ada sebarang perbincangan diadakan mengenai calon pengganti Shuhaily.
Menyentuh mengenai isu kepimpinan baharu agensi itu, Mohamad Fauzi mengemukakan persoalan tentang ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan bagi memastikan AKPS benar-benar berupaya menjadi benteng keselamatan negara.
“Kerajaan perlu mengutamakan kepimpinan yang mempunyai integriti tidak berkompromi, keberanian membanteras sindiket dan kemampuan membina sistem penguatkuasaan yang tidak mudah dimanipulasi,” jelasnya.
Beliau menggariskan lapan perkara utama yang perlu diambil kira oleh kerajaan, antaranya:
- Integriti dan rekod perkhidmatan yang meyakinkan.
- Pengalaman dalam penguatkuasaan dan jenayah rentas sempadan.
- Keberanian membasmi rasuah dan melaksanakan reformasi.
- Kebebasan operasi dan akauntabiliti.
Tambah beliau lagi, kerajaan tidak seharusnya hanya menilai calon berdasarkan pengalaman lampau semata-mata, sebaliknya perlu melihat visi jelas yang dibawa bagi hala tuju AKPS untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Antara agenda strategik yang perlu diberikan perhatian ialah memperkukuh kawalan di semua pintu masuk negara, mengenal pasti dan menghapuskan kelemahan sistem penguatkuasaan serta membina budaya integriti yang menjadi identiti organisasi.
“Kerajaan wajar meminta calon mengemukakan pelan tindakan yang mempunyai sasaran, petunjuk prestasi utama (KPI), tempoh pelaksanaan dan mekanisme pemantauan yang jelas,” katanya.