KUALA LUMPUR: Tatkala konflik Timur Tengah masih berpanjangan tanpa jalan penyelesaian, tempiasnya mula dirasai di Malaysia.
Dari makcik yang menjual kuih-muih di Seberang Perai mahupun syarikat pemula teknologi di Cyberjaya, kegelisahan yang dirasai adalah nyata. Kenaikan kos bahan api dan gangguan rantaian bekalan bukan lagi sekadar tajuk berita, malah telah menjadi realiti yang memberi impak kepada margin keuntungan.
Namun, sektor perbankan Malaysia tidak sekadar berpeluk tubuh menunggu badai melanda. Dengan tabung bantuan berjumlah RM5 bilion yang digerakkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), mesej kepada perniagaan dan individu adalah jelas: bantuan tersedia, namun anda perlu bertindak segera.
Talian hayat untuk PMKS
Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) lazimnya menjadi golongan paling terkesan apabila harga minyak global melambung. Bagi menangani kemelut ini, Kemudahan Relief Stabilisasi PKS (SRF) akan dibuka secara rasmi untuk permohonan bermula esok (15 Mei 2026).
Tempoh permohonan SRF dibuka sehingga 31 Disember 2026, atau sehingga dana tersebut habis digunakan sepenuhnya.
Ini bukan sekadar pinjaman biasa; ia merupakan langkah strategik untuk menangani isu kecairan tunai. Berikut adalah perincian penting yang perlu anda ketahui:
- Sasaran: PMKS yang bergelut dengan modal kerja, kos inventori, atau kelangsungan perniagaan.
- Sektor Keutamaan: Perniagaan yang bergantung tinggi kepada minyak, produk berasaskan minyak mentah, dan diesel akan diberikan keutamaan.
- Sokongan Rantaian Bekalan: Jika bekalan anda terjejas atau terputus akibat konflik tersebut, kemudahan ini dirancang khusus untuk membantu anda.
- Perincian Pembiayaan: Perniagaan yang layak boleh mengakses dana sehingga RM750,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.
- Kadar Faedah: Kadar pembiayaan maksimum ditetapkan pada 3.75% setahun (termasuk yuran jaminan).
Kemudahan ini disokong oleh dana BNM dan skim jaminan kerajaan yang ditadbir oleh Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad. Untuk maklumat lanjut atau jika anda ingin memohon SRF, sila ke bank yang berdekatan.
Institusi kewangan seperti CIMB pula telah pun mengaktifkan Program Bantuan Pembayaran (PAP) mereka. Mereka bukan sekadar menawarkan pembiayaan baharu, malah memberikan “ruang bernafas” kepada peminjam.
Bagaimana dengan individu?
Bukan sahaja pemilik perniagaan yang merasai impaknya, malah individu yang mempunyai pinjaman peribadi, pembiayaan perumahan, atau kenderaan turut terkesan.
Pelanggan individu yang layak boleh mendapat manfaat pelepasan pembayaran untuk beberapa bulan atau penjadualan semula pembayaran mengikut kemampuan semasa anda.
Sama ada anda seorang pemilik perniagaan atau kakitangan sektor swasta, strateginya tetap sama: hubungi bank secepat mungkin, dan rancang semula pinjaman anda.