Portal Sekolahku: Gerbang digital baharu ibu bapa akses maklumat sekolah KPM

Portal Sekolahku merupakan platform berpusat berasaskan data EMIS rasmi bagi memudahkan ibu bapa serta orang ramai mengakses maklumat sekolah seluruh negara secara tepat, pantas, dan telus.

Portal Sekolahku: Gerbang digital baharu ibu bapa akses maklumat sekolah KPM

PETALING JAYA: Kementerian Digital menerusi GovTech Malaysia hari ini menyerahkan pembangunan Portal Sekolahku kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha memodenkan penyampaian maklumat pendidikan negara.

Majlis penyerahan yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Damansara Utama hari ini disempurnakan bersama oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Portal Sekolahku dibangunkan sebagai platform berpusat yang menghimpunkan maklumat komprehensif mengenai sekolah seliaan KPM di seluruh negara, sekali gus membolehkan akses maklumat dibuat secara tepat, teratur, dan telus melalui satu gerbang digital tunggal.

Kekuatan utama portal ini terletak pada penggunaan data rasmi terus daripada Sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan (EMIS) KPM. Langkah ini menjamin setiap statistik, profil sekolah, dan maklumat kemudahan yang dipaparkan adalah sahih serta telah disahkan, seterusnya menghapuskan kebergantungan kepada sumber tidak rasmi.

Bagi ibu bapa dan orang ramai, portal ini menawarkan pelbagai ciri utama yang memudahkan urusan harian. Antaranya ialah penggabungan maklumat sekolah di bawah satu platform bagi mengelakkan keperluan melayari pelbagai laman sesawang, selain kemudahan carian sekolah berhampiran kediaman secara pantas.

Platform ini turut menyajikan statistik asas sekolah yang jelas demi meningkatkan ketelusan sistem pendidikan negara, disokong penerapan identiti visual rasmi KPM bagi memperkukuh kredibiliti dan keyakinan pengguna.

Kementerian Digital menegaskan portal ini memberi impak positif kepada ekosistem pendidikan melalui capaian maklumat yang lebih pantas tanpa pergerakan fizikal, sekali gus menjimatkan masa dan kos. Ibu bapa kini boleh membuat keputusan yang lebih tepat dalam memilih sekolah berdasarkan ketepatan data lokasi dan kemudahan.

Selain itu, inisiatif ini berupaya merapatkan jurang digital dengan memberi akses maklumat setara kepada masyarakat luar bandar, di samping meningkatkan ketelusan dan mengurangkan kebergantungan kepada proses manual.

Pembangunan Portal Sekolahku diterajui oleh GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital bagi memacu transformasi pendigitalan perkhidmatan awam berasaskan pendekatan Whole-of-Government (WoG). Orang ramai boleh melayari platform ini menerusi laman web sekolahku.moe.gov.my.