Kementerian Digital rangkul pengiktirafan antarabangsa di Festival of Innovation 2026

Festival of Innovation 2026 anjuran GovInsider yang berlangsung di Singapura, baru-baru ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan 270 penyertaan daripada 120 agensi kerajaan dari seluruh dunia.

Kementerian Digital rangkul pengiktirafan antarabangsa di Festival of Innovation 2026

PUTRAJAYA: Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara (JDN) dan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) melakar kejayaan membanggakan di persada dunia apabila meraih pengiktirafan cemerlang pada Festival of Innovation 2026 anjuran GovInsider yang berlangsung di Singapura, baru-baru ini.

Edisi tahun ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan 270 penyertaan daripada 120 agensi kerajaan dari seluruh dunia. Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen jitu Kementerian Digital dalam memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) serta memacu transformasi teknologi secara bertanggungjawab di Malaysia.

Kementerian Digital menerima pengiktirafan menerusi beberapa kategori utama yang melambangkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.

JDN merangkul gelaran pemenang bagi kategori Inter-Agency Award menerusi inisiatif MyGovCloud@PDSA, iaitu sebuah projek berimpak tinggi dalam penyelarasan infrastruktur awan merentas agensi kerajaan.

Selain itu, NAIO dan JDN secara bersama menerima Pengiktirafan Khas (Special Mention) bagi AI-Ready Award melalui inisiatif AI@Works. Inisiatif tersebut mempamerkan kesiapsiagaan sektor awam Malaysia dalam mengadaptasi teknologi AI secara beretika.

JDN turut menerima satu lagi Pengiktirafan Khas bagi Digital Government Award melalui platform Malaysia Government Central Data Exchange (MyGDX) atas usaha memperkasakan perkongsian data nasional yang bersepadu.

Pencapaian ini diperkukuh lagi apabila NAIO tersenarai sebagai finalis bagi kategori Transformative Agency of the Year Award. Pencapaian berkenaan sekali gus meletakkan agensi di bawah Kementerian Digital setaraf dengan agensi inovasi terbaik di peringkat global.

Kejayaan di peringkat antarabangsa ini adalah selari dengan hala tuju Ke Arah Negara AI 2030 yang diterajui oleh Kementerian Digital. Melalui NAIO, fokus utama diberikan kepada pembangunan ekosistem AI yang inklusif dengan menekankan tiga aspek penting iaitu tadbir urus digital, pembangunan kapasiti, dan pertumbuhan ekonomi.

Aspek tadbir urus digital memastikan penggunaan teknologi yang selamat dan beretika, manakala pembangunan kapasiti pula bermatlamat memperkasakan penjawat awam serta pihak industri dengan kemahiran masa hadapan. Di samping itu, tumpuan turut diberikan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan produktiviti negara berasaskan inovasi data dan AI.

Festival of Innovation merupakan platform global yang menghimpunkan pemimpin kerajaan serta pakar teknologi untuk berkongsi amalan terbaik.

Kehadiran aktif Kementerian Digital di platform ini membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, malah bertindak sebagai peneraju inovasi yang berteraskan kepentingan rakyat.