SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dijangka menyaksikan saingan paling sengit dalam sejarah politik negeri itu susulan keputusan mengejut gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak secara solo pada pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos depan.
Langkah drastik kedua-dua gabungan tersebut yang sebelum ini membentuk kerajaan perpaduan negeri selepas PRN ke-15, bakal menyaksikan kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berhadapan pertembungan pelbagai penjuru selepas pemimpin tertinggi masing-masing mengesahkan akan bertanding di kesemua kawasan secara berasingan.
Selain perpisahan PH-BN, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) turut dilaporkan akan meletakkan calon di hampir kesemua kerusi, tatkala mereka sendiri sedang bergelut dengan krisis dalaman susulan tindakan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu baru-baru ini.
Keadaan dinamik itu ditambah lagi dengan kemunculan parti baharu seperti Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), selain parti sedia ada seperti Pejuang, Berjasa, Putera, Warisan, Muda dan Iman yang dijangka mencetuskan saingan sekurang-kurangnya empat penjuru di kebanyakan kawasan.
Berdasarkan rekod keputusan PRN lalu pada 12 Ogos 2023, sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN dikategorikan sebagai kerusi ‘panas’ atas faktor majoriti tipis di bawah 1,000 undi, status calon berprofil tinggi serta pergolakan kuota kerusi parti.
Kawasan terbabit ialah DUN Juasseh yang dimenangi Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid daripada BN dengan majoriti tipis 78 undi, DUN Ampangan menerusi Tengku Zamrah Tengku Sulaiman daripada PH dengan 329 undi, selain DUN Seri Menanti dengan majoriti 370 undi, DUN Lenggeng (404 undi), DUN Sungai Lui (535 undi), DUN Palong (564 undi), DUN Senaling (662 undi), DUN Jeram Padang (693 undi), DUN Serting (843 undi) dan DUN Kota (135 undi).
Sementara itu, tujuh lagi kerusi dengan majoriti antara 1,000 hingga 3,000 undi turut berada dalam kedudukan goyah sekiranya berlaku peralihan arah sokongan pengundi melibatkan DUN Pilah, Linggi, Labu, Johol, Gemencheh, Sikamat dan Pertang.
Mengulas dinamika tersebut, Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, landskap politik Negeri Sembilan kali ini berubah sepenuhnya berbanding pilihan raya terdahulu dan sukar untuk diramal.
“Kehadiran blok progresif seperti MUDA, Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta parti serantau baharu pastinya akan memecahkan lagi variasi undi. Peta kemenangan sukar diramal kerana tiada lagi formula satu lawan satu atau dominasi blok besar secara mudah,” kata Mohd Azmir.
Beliau menambah, kemelut politik tempatan pasca-penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April lalu menjadi pemangkin utama kepada pembubaran DUN pada 5 Jun lepas.
“Sentimen pengundi kali ini bukan sahaja berkisar kepada prestasi ekonomi domestik, kos sara hidup dan kecekapan pihak berkuasa tempatan, malah turut melibatkan isu sensitif berkaitan krisis adat serta Perlembagaan yang melibatkan institusi Istana Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat,” jelas beliau.
Bagaimanapun, Mohd Azmir menegaskan bahawa kunci utama kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu sebenarnya terletak di tangan generasi muda yang membentuk sebahagian besar landskap pengundi.
“Saingan sengit bakal disaksikan dalam kalangan parti yang bertanding dalam usaha untuk mempengaruhi dan menawan pengundi muda yang merangkumi kira-kira dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pengundi di Negeri Sembilan. Kelompok ini bakal menjadi penentu mutlak kepada kemenangan mana-mana calon,” katanya.
Berdasarkan Daftar Pemilihan Pilihan Raya (DPPR) terbaharu, Negeri Sembilan mempunyai seramai 889,490 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 867,152 pengundi biasa, 16,884 pengundi tentera bersama pasangan dan 5,455 pengundi polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos depan, yang diadakan secara berasingan dengan PRN Johor.
Gambar: Facebook/Pemuda Umno Bahagian Rembau