Agenda kerajaan digital diperkukuh ke arah Negara AI 2030

Putrajaya memperkukuh agenda Kerajaan Digital menerusi pelaksanaan Rancangan Pendigitalan Sektor Awam 2026–2030 serta pelbagai inisiatif luaran seperti pelancaran MD Nexus di Pulau Pinang demi memacu aspirasi Negara AI 2030.

Agenda kerajaan digital diperkukuh ke arah Negara AI 2030

PUTRAJAYA: Kerajaan terus mempergiat langkah mempercepat pendigitalan sektor awam, memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta membudayakan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan menerusi Mesyuarat Kerajaan Digital Bilangan 3 Tahun 2026, semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk membentuk perkhidmatan awam yang lebih digital, tangkas, dan bersedia mendepani perubahan teknologi, sekali gus memperkukuh asas ke arah aspirasi Negara AI 2030.

Menurut Kementerian Digital, usaha ke arah pentadbiran tanpa kertas (paperless) turut menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak 123,325 rim kertas bernilai RM1.48 juta berjaya dijimatkan sepanjang Ogos lalu. Bagi tempoh Mei hingga Ogos, penjimatan terkumpul secara keseluruhan mencecah 482,940 rim bernilai RM5.79 juta.

Momentum transformasi berkenaan diperkukuh menerusi Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026–2030 sebagai hala tuju utama bagi memastikan pendigitalan kerajaan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu berteraskan pendekatan Whole-of-Government.

Kementerian Digital selaku peneraju agenda digital negara berperanan menetapkan hala tuju pendigitalan sektor awam, menyelaras pelaksanaan RPSA 2026–2030, serta memperluas penerapan AI dan teknologi digital merentas agensi kerajaan.

Langkah ini bagi memastikan transformasi yang dilaksanakan secara bersepadu dapat diterjemahkan kepada peningkatan nyata dalam kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Dekatkan Agenda Digital Kepada Rakyat

Dalam pada itu, Kementerian Digital meneruskan usaha mendekatkan agenda digital negara kepada masyarakat menerusi pembukaan Reruai Kementerian Digital pada Hari Terbuka Parlimen Malaysia Ke-67 Tahun 2026, baru-baru ini.

Penyertaan berkenaan mengetengahkan lima fokus utama iaitu Perkhidmatan Digital, Digitalisasi Sektor Awam, Data Peribadi Anda, AI Malaysia 2030, dan Rakyat Digital, bagi memberi ruang kepada pengunjung mengenali secara dekat pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung.

Majlis Penutupan Hari Terbuka Parlimen Malaysia Ke-67 pada 13 September lalu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Selesai majlis, beliau turut meluangkan masa mengunjungi Reruai Kementerian Digital dan meninjau pengisian Hansard Parlimen yang membolehkan akses kepada rekod perbahasan dilaksanakan secara lebih pantas dan sistematis.

Sepanjang dua hari penganjuran, reruai berkenaan menjadi platform interaktif untuk rakyat mendapatkan maklumat serta memahami usaha pembentukan ekosistem digital yang inklusif dan progresif.

Sunshine Tower MD Nexus Pertama Wilayah Utara

Sementara itu di Pulau Pinang, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong menghadiri Majlis Pelancaran Sunshine Tower sebagai MD Nexus di Sunshine Central pada 11 September lalu.

Pengiktirafan berkenaan menjadikan Sunshine Tower sebagai bangunan pertama di Pulau Pinang dan MD Nexus pertama di Wilayah Utara di luar Lembah Klang, sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan digital menerusi penyediaan destinasi perniagaan yang berhubung secara digital.

Menerusi keberadaan lebih 200 syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) di Wilayah Utara, MD Nexus di Sunshine Tower berpotensi memperkemas hubungan antara syarikat teknologi, industri, pelabur, dan rakan ekosistem dalam memacu pelaburan digital, pembangunan bakat, serta pertumbuhan ekonomi.

Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil; serta Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Seri Loo Lee Lian.