Aspirasi Negara AI 2030: Belanjawan 2027 pacu ekosistem digital nasional

Kementerian Digital memperkasa ekosistem teknologi nasional menerusi Belanjawan 2027 bagi melahirkan tenaga kerja mahir AI, menyokong PMKS, memperluas akses digital inklusif, dan merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

Aspirasi Negara AI 2030: Belanjawan 2027 pacu ekosistem digital nasional

PUTRAJAYA: Kementerian Digital menerima tumpuan khusus menerusi Belanjawan 2027 bagi memacu ekosistem digital nasional, memperkasakan bakat teknologi tempatan dan membina tenaga kerja bersedia masa hadapan ke arah merealisasikan aspirasi Negara AI menjelang tahun 2030.

Dalam usaha memperkasa ekosistem kecerdasan buatan (AI) beretika, AI Malaysia Berhad diperkukuh dengan menumpukan kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi, pengukuhan infrastruktur digital serta penciptaan ekosistem tadbir urus AI yang cekap dan selamat bagi melahirkan 200,000 tenaga mahir AI negara.

Bagi menyokong pertumbuhan sektor perniagaan tempatan, dana Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) disalurkan untuk membantu 4,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerapkan keupayaan AI serta mengautomasi operasi mereka, di samping melatih dan memperakui 5,000 profesional AI.

Dalam pada itu, bagi memperluas daya tarikan bakat tempatan dan antarabangsa, Kerajaan mengumumkan lanjutan tempoh Pas DE Rantau.

Menerusi inisiatif ini, pemegang Pas Nomad DE Rantau sedia ada yang telah mencapai had maksimum dua tahun kini layak menerima tambahan dua tahun lagi untuk terus tinggal dan bekerja secara jarak jauh di Malaysia.

Di samping itu, agenda pendigitalan sekolah pondok turut dilaksanakan menerusi kolaborasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan MDEC.

Langkah berkenaan bertujuan menyediakan peranti serta latihan kemahiran digital kepada guru dan pelajar di lebih 300 sekolah pondok di seluruh negara bagi memastikan ketersediaan digital secara inklusif.

Bagi memperkasakan keupayaan modal insan serta belia, inisiatif memperkasa kemahiran digital diperluas menerusi tambahan 100,000 langganan AI percuma yang merangkumi aplikasi AI popular termasuk ChatGPT.

Pada masa sama, Platform Rakyat Digital turut memberikan akses kursus digital percuma untuk rakyat menguasai lebih 16,000 kursus dan Sijil Profesional bersama Coursera.

Menurut kenyataan media Kementerian Digital hari ini, langkah-langkah yang dirangka di bawah Belanjawan Madani Kelima itu menterjemahkan falsafah “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dengan meletakkan Malaysia di persada teknologi tinggi global, di samping memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan digital.

“Sehubungan dengan itu, Kementerian Digital menyambut baik komitmen belanjawan ini dan bersedia menggembleng segenap keupayaan demi mempercepat agenda transformasi digital negara, sekali gus melonjakkan Malaysia sebagai sebuah Negara AI yang utuh menjelang tahun 2030,” katanya.