Tuanku Muhriz ingatkan Exco Negeri Sembilan tidak salah guna kuasa, kedudukan

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu dilantik agar tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan serta melaksanakan tanggungjawab dengan jujur, telus dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat.

Tuanku Muhriz ingatkan Exco Negeri Sembilan tidak salah guna kuasa, kedudukan

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dilantik supaya menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan jujur, adil serta profesional.

Baginda menegaskan agar semua Exco memastikan tiada penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga mahupun sahabat, terutamanya dalam membuat keputusan pemberian tender atau projek kerajaan.

“Seperti yang pernah beta titahkan dahulu, negara amat memerlukan pemimpin yang berpendirian tinggi atau persons of honour,” titah Tuanku Muhriz.

“Jangan sesekali menyalahgunakan kuasa dan kedudukan kerana ia akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang dirangka untuk kebaikan rakyat.

“Negeri Sembilan telah mencatatkan rekod pelaburan yang tinggi serta peningkatan hasil negeri yang membanggakan dan pencapaian itu hendaklah dipertahankan, diperkukuhkan serta terus dipertingkatkan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan.”

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Hadir sama Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid dan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Tuanku Muhriz bertitah, pelantikan berkenaan merupakan satu cabaran bagi semua barisan Exco di samping peranan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing.

“Kesemua kepimpinan yang dilantik bertanggungjawab merangka dasar dan hala tuju pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan demi kepentingan negeri serta kesejahteraan rakyat dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil.

“Rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan negeri, justeru setiap dasar dan perancangan hendaklah dilaksanakan secara cekap, telus serta berkesan,” titah baginda.

Baginda turut menasihati barisan kepimpinan baharu agar meneruskan kecemerlangan kerajaan terdahulu, khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan hasil pendapatan negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat.

Pada masa sama, baginda mahu segala kelemahan dikenal pasti dan ditambah baik secara berterusan bagi memastikan pentadbiran negeri berada pada tahap cemerlang, berintegriti dan berkesan.

“Beta berdoa agar Negeri Sembilan terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan keberkatan serta semua pihak yang diamanahkan untuk mentadbir sentiasa dipandu ke arah keadilan dan kebijaksanaan,” titah Tuanku Muhriz.

Sementara itu, pelantikan barisan Exco Negeri Sembilan menyaksikan penyertaan lapan muka baharu bagi melengkapkan senarai 10 ahli Exco bagi penggal baharu 2026-2031.

Hanya dua muka lama dikekalkan iaitu ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli yang memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, manakala ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor kekal memegang portfolio Pembangunan Belia dan Sukan.

Exco baharu yang dilantik ialah ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali yang memegang portfolio Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.

ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dilantik sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan, manakala ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar memegang portfolio Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO.

Bekas Timbalan Speaker DUN yang juga ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Mohd Amin dilantik sebagai Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital, manakala ADUN Labu, Siti Nur Umaira Hasim dilantik memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dua wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) turut dilantik iaitu ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa sebagai Exco Keusahawanan, Sumber Manusia dan Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan serta ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah sebagai Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan.

Ahad lalu, Ismail yang juga ADUN Juasseh mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kesembilan selepas Barisan Nasional (BN) dan PN melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dengan memperoleh 25 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga berbanding Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 11 kerusi.

Ismail mengetuai tiga portfolio utama iaitu Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; serta Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti, Komunikasi dan FELDA.

Ketika ditemui, Ismail meminta barisan Exco yang dilantik memikul amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab kerana tugas mentadbir negeri memerlukan komitmen serta kesungguhan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

“Saya yakin dan percaya semua barisan diperkenankan Tuanku faham betapa besarnya tanggungjawab kita untuk menjaga keharmonian dan kemajuan Negeri Sembilan.

“Lebih penting ialah bagi mensejahterakan rakyat yang telah memberi undi dan keyakinan kepada kita,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah itu menambah, pihak kerajaan negeri akan melantik seorang pegawai daripada masyarakat India bertaraf Exco di bawah Pejabat Menteri Besar bagi memastikan komuniti itu turut berperanan dalam pentadbiran.

Beliau turut menegaskan bahawa buat masa ini tiada keperluan untuk melantik timbalan Exco, manakala pelantikan seorang wakil masyarakat Orang Asli dalam pentadbiran negeri akan dipertimbangkan.