SHAH ALAM: Bekas presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS) yang tidak dipilih semula pada pemilihan POS 1 November lalu, mendedahkan bahawa beliau mewarisi kedudukan kewangan yang amat kritikal dengan baki wang tunai hanya RM210 ketika mula menerajui badan induk tersebut pada Januari 2024.
Namun, dalam tempoh dua tahun, kepimpinannya berjaya menjana pendapatan persatuan mencecah kira-kira RM250,000, sekali gus melonjakkan dana terkumpul kepada RM130,464 pada penghujung tahun 2025 berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit.
Menurut beliau, lonjakan kewangan tersebut dipacu oleh model penjanaan pendapatan kendiri menerusi yuran kelulusan acara larian jalan raya dan maraton. Pada tahun 2025 sahaja, yuran kelulusan berkenaan menyumbang sebanyak RM60,720 atau 57 peratus daripada keseluruhan pendapatan persatuan.
“Daripada hanya RM210, kita berjaya membina kedudukan kewangan yang lebih stabil. Ini membuktikan bahawa kekurangan sumber bukan penghalang kepada kejayaan jika disertai keberanian, perancangan dan kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Malah, demi memastikan kelangsungan persatuan, Nurhayati turut menanggung sendiri sebahagian kos perundangan berkaitan usaha pendaftaran semula POS tanpa mengemukakan sebarang tuntutan bayaran balik kerana yakin badan itu mempunyai masa depan yang wajar diperjuangkan.
Kukuhnya kedudukan kewangan tersebut kemudiannya diterjemahkan terus kepada program pembangunan akar umbi, termasuk penganjuran Kejohanan Olahraga Remaja Selangor 2024 di Stadium Mini Bukit Jalil yang berjaya menghimpunkan lebih 1,700 atlet serta menarik kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung.
Kejohanan berkenaan turut melakar sejarah tersendiri menerusi pengenalan pelbagai pembaharuan seperti penggunaan sistem elektronik sepenuhnya, paparan skrin diod pemancar cahaya, keputusan masa nyata, liputan media sosial secara menyeluruh serta insentif hadiah wang tunai kepada pemenang.
Inisiatif berimpak tinggi itu turut berjaya memikat minat sektor korporat apabila jenama sukan antarabangsa, Puma, tampil menaja hadiah kepada para atlet yang menaiki podium.
Dalam aspek pembangunan sumber manusia sukan pula, POS memberi penekanan khusus terhadap peningkatan kualiti kejurulatihan dan pegawai teknikal. Sejak tahun 2024, sebanyak 28 kursus Sistem Pendidikan dan Pensijilan Jurulatih Olahraga Dunia (World Athletics CECS) Tahap 1 telah dianjurkan di Selangor, berjaya melahirkan 591 jurulatih termasuk 147 jurulatih wanita, di samping penganjuran kursus Tahap 2 khas untuk 18 jurulatih wanita.
Selain itu, langkah awal bagi menubuhkan akademi kejurulatihan turut digerakkan bagi memperluas akses pendidikan sukan di negeri ini.
Mengulas krisis dalaman yang melanda persatuan pada tahun 2025 susulan usul tidak percaya yang dikemukakan terhadap kepimpinannya, Nurhayati menegaskan bahawa setiap proses telah dikendalikan berlandaskan perlembagaan persatuan. Ini termasuk memberikan tempoh rayuan yang mencukupi sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat dalam Mesyuarat POS.
“Saya sentiasa percaya bahawa keadilan perlu dihormati walaupun keputusan yang dibuat mungkin tidak memihak kepada kita. Perlembagaan bukan alat untuk memenangkan mana-mana pihak, sebaliknya menjadi panduan yang melindungi semua pihak dalam organisasi,” tegasnya.
Walaupun berdepan tekanan dalaman, POS kekal komited meneruskan agenda pembangunan sehingga sistem kelulusan acara larian yang diperkukuh itu dijadikan antara rujukan utama dalam merangka garis panduan Olahraga Malaysia (MA), selain mendapat pengiktirafan badan induk dunia, World Athletics, yang menjemput beliau berkongsi pengalaman mengenai model kebebasan kewangan persatuan.
Dalam pada itu, Nurhayati merakamkan ucapan tahniah kepada M. Ganesh atas pemilihan beliau sebagai Presiden POS yang baharu serta menyatakan kesediaan penuh untuk membantu melancarkan proses peralihan tugas.
“Saya mencabar kepimpinan baharu untuk meneruskan apa yang telah kita bina dan menjadikannya berlipat kali ganda lebih baik. Kita bermula dengan RM210 dan meninggalkan dana terkumpul RM130,464, selain 591 jurulatih terlatih dan kejohanan remaja dengan lebih 1,700 atlet.
“Biarlah angka-angka ini menjadi garis permulaan, bukan garis penamat. Saya ingin melihat lebih ramai atlet, lebih ramai jurulatih dan pegawai teknikal, serta kewangan yang lebih kukuh dalam tempoh dua tahun akan datang,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa cabaran terbesar dalam menerajui persatuan sukan adalah mempraktikkan amalan tadbir urus terbaik tanpa kompromi.
“Keputusan tatatertib telah diputuskan oleh perwakilan dalam Mesyuarat Agung mengikut perlembagaan, dan sebarang semakan semula wajar melalui saluran yang sama secara telus. Dalam apa jua perkara yang melibatkan ahli keluarga, pemimpin wajar mengisytiharkan kepentingan dan menarik diri daripada membuat keputusan. Ini bukan soal individu, tetapi soal kepercayaan ahli dan atlet terhadap persatuan,” katanya.
Beliau juga menyeru seluruh warga olahraga Selangor agar mengetepikan perbezaan pendapat demi mengutamakan kebajikan atlet.
“Jawatan dan kepimpinan boleh berubah, namun perjuangan membangunkan olahraga serta masa depan generasi muda perlu diteruskan. Kita perlu membina satu templat tadbir urus yang mapan dan tidak bergantung kepada individu supaya olahraga di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan dapat dikendalikan secara profesional dan telus,” tegasnya.