KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil serius isu keselamatan kecerdasan buatan (AI), termasuk risiko kebergantungan emosi kanak-kanak terhadap sistem AI seperti pendamping AI (AI companion).
Menjawab pertanyaan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata kerajaan mengambil perhatian mengenai perkembangan penggunaan sistem AI seperti AI companion dan bot sembang (chatbot) interaktif, khususnya yang melibatkan golongan bawah umur bagi memastikan langkah kawal selia yang sewajarnya dapat dilaksanakan untuk menangani risiko berkaitan.
“Pada masa ini, terdapat peruntukan di bawah undang-undang sedia ada yang boleh digunakan bagi menangani risiko dan melindungi golongan bawah umur seperti penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” kata Gobind.
“Berhubung penetapan tanggungjawab, Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI akan menggariskan kewajipan pihak terlibat berdasarkan fungsi dan tahap kawalan mereka bagi pembangun (developers) dan pelaksana (deployers).”
Mohd Kurniawan dalam pertanyaannya mahukan Gobind menyatakan pendirian tegas kerajaan berhubung ancaman kebergantungan emosi kanak-kanak terhadap entiti AI companion, dan sama ada RUU Tadbir Urus AI akan menetapkan liabiliti undang-undang ke atas pembangun AI untuk membina protokol krisis mandatori sekiranya sistem mengesan perbualan berkaitan isu mencederakan diri, bunuh diri atau eksploitasi.
Gobind berkata RUU tersebut juga bakal memperkenalkan mekanisme pelaporan insiden AI.
“Maklumat insiden yang dilaporkan akan dianalisis untuk mengenal pasti corak risiko dan kelemahan baharu. Ini membolehkan kerajaan menetapkan atau menambah baik langkah perlindungan dari semasa ke semasa,” katanya.
Gobind menambah, bagi mengelakkan pertindihan fungsi, mekanisme di bawah RUU ini akan disepadukan dengan saluran kepakaran sektoral sedia ada.
“Contohnya, isu kesihatan mental akan kekal diselaraskan dengan Talian HEAL 15555 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala isu perlindungan sosial melalui Talian Kasih 15999 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata, berdasarkan corak risiko yang dipantau secara sektoral ini, kerajaan boleh menetapkan langkah perlindungan yang lebih bersasar, termasuk mewajibkan protokol krisis sekiranya perlu dan tindak balas mandatori bagi kategori AI yang berisiko tinggi.
“Selain aspek perundangan, kerajaan juga sedang membangunkan Institut Keselamatan AI Malaysia di bawah AI Malaysia bagi memperkukuh keupayaan negara dalam aspek keselamatan AI,” jelasnya.
Menurut Gobind, institut ini akan memberi tumpuan kepada penyelidikan, pengujian dan penilaian risiko keselamatan teknologi AI, serta pembangunan kaedah penilaian dan piawaian keselamatan yang bersesuaian.
“Penilaian ini juga boleh merangkumi risiko yang timbul daripada penggunaan teknologi seperti AI companion dari segi teknikal, khususnya terhadap keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, bagi membantu kerajaan dan pihak industri mengenal pasti langkah perlindungan yang sewajarnya,” kata Gobind.
Gobind berkata kementeriannya kekal komited dalam memastikan pembangun dan pelaksana teknologi bertanggungjawab demi melindungi nyawa serta masa depan generasi muda.