PRN Negeri Sembilan tuntut kematangan politik dan keyakinan rakyat

Seramai 867,152 pengundi bakal menentukan masa depan Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang. Pilihan raya negeri ini bukan sekadar pertembungan parti politik, tetapi ujian kematangan rakyat dalam menilai rekod prestasi serta dasar realistik.

PRN Negeri Sembilan tuntut kematangan politik dan keyakinan rakyat

SEREMBAN: Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 hampir menuju kepenghujungnya dan akan memasuki fasa penentuan apabila seramai 867,152 pengundi biasa bakal memilih pemimpin yang akan menjadi pilihan untuk membentuk kerajaan negeri pada Sabtu ini.

Pada 28 Julai lalu, lebih sebahagian daripada 16,884 pengundi tentera serta pasangan dan 5,455 membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia sudah melaksanakan tanggungjawab masing-masing menerusi pengundian awal.

Pada Sabtu ini, pengundi biasa bakal membuat pilihan mereka berdasarkan hak yang telah diperuntukkan oleh undang-undang untuk memilih kerajaan baharu bagi mentadbir Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pelbagai persoalan dilontarkan orang ramai mengenai jangkaan keputusan yang bakal diterjemahkan oleh pengundi dan tidak kurang juga ramai dalam kalangan mereka yang membuat ramalan sendiri mengenai keputusan yang akan berlaku.

Bagi dua gabungan utama yang bertanding iaitu Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan penyandang dan Barisan Nasional (BN), masing-masing mahukan kemenangan selesa atau dua pertiga majoriti bagi memudahkan urusan pentadbiran dilakukan selepas mendapat mandat.

Jumlah antara 24 hingga 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 36 kerusi menjadi sasaran pemimpin gabungan itu manakala 19 kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN manakala BN meletakkan calon di 25 kerusi.

Buat pertama kalinya, BN menjalinkan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di 11 kerusi DUN.

PRN kali ini juga mencatatkan sejarah apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) buat pertama kali bertanding menggunakan nama dan logonya sendiri apabila meletakkan calon di 24 kerusi dengan turut berkeyakinan mampu menang dan membentuk kerajaan negeri.

Secara keseluruhan, sebanyak 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN termasuk calon dari Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang masing-masing mempertaruhkan seorang wakil, selain empat calon Bebas.

Segala jangkaan yang dibuat ketika ini masih banyak bersandarkan kepada pola pengundian PRN negeri yang lalu pada Ogos 2023 serta mengambil kira keputusan PRN Johor yang baru berakhir.

Namun, keputusan juga akan bergantung kepada peratusan keluar mengundi serta faktor-faktor lain yang diandaikan mampu mempengaruhi keputusan termasuk kempen pada saat akhir.

Keputusan pada PRN lalu tidak boleh dijadikan ukuran bahawa ia akan kekal kerana dinamik politik di Negeri Sembilan telah berubah apabila PH dan BN bertanding secara berasingan berbanding sebelum ini kedua-dua gabungan itu bekerjasama.

Malah, mengambil kira rekod sebelum ini, tiada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan negeri secara tersendiri sekali gus membuatkan tiada mana-mana pihak yang berani membuat ramalan tepat gabungan atau parti mana yang akan memenanginya.

Pengundi muda yang membentuk kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi juga dijangka akan turut mempengaruhi, malah manifesto yang dilancarkan setiap parti dengan pelbagai insentif ditawarkan juga boleh memikat hati pengundi.

Hakikatnya, PRN ini akan menguji kematangan pengundi di Negeri Sembilan kerana ia bukan sekadar pertandingan antara parti politik, tetapi menjadi medan untuk rakyat menentukan bentuk politik yang ingin diteruskan.

Ia bukan sekadar siapa paling lantang bercakap mengenai kaum atau agama, tetapi siapakah atau parti manakah yang mempunyai rekod prestasi terbaik dalam mentadbir dan menyelesaikan masalah kehidupan rakyat.

Seperti yang ditegaskan Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil bahawa pengundi di Negeri Sembilan perlu memilih berdasarkan prestasi dan keyakinan.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, ia bukan sekadar memilih wakil rakyat, sebaliknya menjadi penentu kepada hala tuju pembangunan di Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Pengundi perlu memilih berdasarkan prestasi, pemimpin antirasuah, tidak mengutamakan kekayaan selain tidak melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

“Kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah menunjukkan teladan dan prestasi baik termasuk menerusi peningkatan hasil pelaburan selain kutipan zakat serta Baitulmal.

“Kalau kita lihat cara, gaya kepimpinan Tok Min (Aminuddin) dan kalau kita dengar dalam media sosial bagaimana rakyat biasa mengatakan mereka memberikan 9/10, 9.5/10 dan sebagainya kepada Tok Min dan pentadbiran PH,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA, Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, pengalaman seseorang pemimpin ketika memegang jawatan menjadi petunjuk terhadap keupayaannya mentadbir apabila diberi mandat.

Beliau berkata, rekod pentadbiran yang boleh dinilai berdasarkan pencapaian sebenar lebih penting berbanding persepsi kerana ia membuktikan kemampuan seseorang pemimpin mengurus kerajaan dan memenuhi kehendak rakyat.

“Pengundi perlu menilai rekod prestasi dan dasar realistik dan keupayaan mengekalkan kestabilan sosial, memperkukuh perpaduan masyarakat serta menghormati nilai agama dan budaya.

“Bukan sekadar bersandarkan kempen atau manifesto. Pengundi harus membuat pertimbangan dari aspek prestasi dan keyakinan ketika melaksanakan tanggungjawab dalam memilih kerajaan baharu di Negeri Sembilan,” katanya.

Apa-apa pun, perhatian semua hampir pasti akan tertumpu kepada tiga tokoh utama iaitu penyandang Datuk Seri Aminuddin Harun (PH) yang bertanding di kerusi DUN Linggi; Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN) di DUN Pertang, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN) yang mempertahankan DUN Rantau serta pimpinan tertinggi Bersatu negeri, Mohamed Hanifah Abu Baker yang mempertahankan kerusi DUN Labu.