PUTRAJAYA: Kementerian Digital terus memperkukuh agenda transformasi digital sektor awam dengan meneroka penerapan Agentic Artificial Intelligence (Agentic AI) dalam aplikasi MyGOV Malaysia.
Langkah strategik ini bertujuan merealisasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pintar, proaktif, responsif dan berpusatkan rakyat.
Kementerian Digital dalam satu kenyataan berkata, Agentic AI merupakan evolusi kecerdasan buatan yang berupaya meningkatkan cara rakyat berinteraksi dengan perkhidmatan digital kerajaan.
Berbeza dengan AI konvensional yang lazimnya memberi respons berdasarkan arahan pengguna, Agentic AI berupaya memahami konteks, merancang tindakan bersesuaian serta membantu melaksanakan tugasan merentasi pelbagai perkhidmatan digital.
“Pelaksanaan secara bertanggungjawab ini mengambil kira aspek keselamatan, privasi data, ketepatan maklumat, tadbir urus AI, ketelusan serta kawalan manusia berdasarkan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam.
“Melalui pendekatan ini, MyGOV Malaysia berpotensi berkembang daripada sebuah platform yang menghimpunkan perkhidmatan kerajaan kepada pembantu digital kerajaan yang membantu rakyat menyelesaikan urusan dengan lebih mudah, pantas dan tersusun,” katanya semalam.
Menurut kenyataan itu, rakyat tidak lagi perlu mengetahui terlebih dahulu agensi atau sistem kerajaan yang perlu dilayari.
Pengguna hanya perlu menyatakan keperluan mereka dalam bahasa yang mudah, dan sistem berasaskan Agentic AI akan membantu mengenal pasti perkhidmatan berkaitan serta memberikan panduan langkah demi langkah.
Apabila tersedia dan mendapat kebenaran pengguna, sistem tersebut akan membantu melaksanakan tindakan yang diperlukan melalui sistem kerajaan yang berkaitan.
Sebagai contoh, semakan saman polis melalui Agentic AI menyediakan pengalaman baharu kepada rakyat dengan menguruskan menu pembayaran saman sehingga selesai.
“Pendekatan ini menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kerumitan birokrasi digital dan mewujudkan pengalaman perkhidmatan awam yang mesra pengguna serta berpaksikan rakyat.
“Teknologi digerakkan untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa perlu mereka memahami kerumitan sistem kerajaan,” katanya.
Kementerian Digital menambah, penerapan Agentic AI dalam MyGOV Malaysia akan dilaksanakan secara berperingkat dan bertanggungjawab bagi menyokong hasrat Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani.
Sehingga Julai 2026, platform MyGOV Malaysia merekodkan lebih 2.9 juta pengguna dengan 52 perkhidmatan daripada 19 agensi kerajaan tersedia untuk capaian orang ramai.