KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan langkah strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani krisis tenaga global susulan ketegangan konflik di Asia Barat yang kian meruncing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara langkah utama yang diambil termasuklah penyelarasan semula kelayakan bantuan subsidi bersasar, Budi95.
Penyelarasan kelayakan Budi95
Hasil penelitian kerajaan mendapati purata penggunaan bulanan Budi95 oleh rakyat adalah sekitar 100 liter, dengan hampir 90 peratus pengguna menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.
“Mengambil kira data tersebut, kerajaan akan menyelaraskan had kelayakan Budi95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April 2026,” katanya dalam satu perutusan khas, hari ini.
Budi95 kekal RM1.99 seliter
Meskipun berlaku penyelarasan had liter, Anwar memberi jaminan bahawa harga subsidi Budi95 tidak akan dinaikkan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Sementara menunggu kestabilan bekalan minyak dan pemulihan ekonomi dunia, saya tegaskan harga Budi95 kekal pada kadar RM1.99 seliter,” ujar beliau.
Bagi golongan pekerja pusingan (gig) dan pemandu e-hailing, kerajaan bersetuju mengekalkan had siling subsidi sehingga 800 liter sebulan memandangkan tuntutan tugasan serta skop pekerjaan mereka.
Subsidi diesel Sabah dan Sarawak
Dalam pada itu, penduduk di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga pasaran dunia menunjukkan peningkatan mendadak.
Anwar menjelaskan, keputusan itu mengambil kira faktor geografi dan logistik di kedua-dua negeri tersebut, namun penguatkuasaan ketat akan dilakukan bagi mengelakkan ketirisan.
Had pengisian bagi kawal ketirisan
Sebagai langkah membendung aktiviti penyeludupan dan penimbunan bekalan, kerajaan turut menetapkan had pengisian bagi setiap transaksi mengikut kategori kenderaan:
- Kenderaan ringan (awam, barangan, persendirian): Maksimum 50 liter.
- Kenderaan awam/barangan (bawah 3 tan): Maksimum 100 liter.
- Kenderaan melebihi 3 tan: Maksimum 150 liter.
“Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang wujud kecenderungan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengumpul dan menyeludup bekalan sepertimana yang dikesan sebelum ini,” tegas beliau.
Budaya kerja fleksibel
Menyentuh soal kecekapan tenaga, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan sedang meneliti pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal, termasuk bekerja dari rumah.
Langkah itu akan dimulakan secara berperingkat dalam sektor awam bagi jawatan terpilih, selain menggesa sektor swasta terutama institusi perbankan untuk turut sama mengamalkan dasar serupa.
Anwar mengakhiri perutusan dengan komitmen bahawa kerajaan akan terus menjaga disiplin fiskal bagi mengelakkan pembaziran, sekali gus memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan.