PUTRAJAYA: Kementerian Digital terus mempergiat usaha memacu transformasi digital negara melalui pelbagai program yang merangkumi pemerkasaan infrastruktur pendidikan luar bandar, pemantapan inovasi kecerdasan buatan (AI) sektor awam, serta pengukuhan tadbir urus data domestik bagi mencapai aspirasi Negara AI menjelang tahun 2030.
Pada 4 Julai, ketua setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar telah mengadakan lawatan kerja ke SK St. Edmund, Limbang, Sarawak. Ketibaan beliau disambut oleh guru besar sekolah berkenaan, Anthony Anak Upe.
Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) merupakan inisiatif strategik Kerajaan Madani yang bertujuan merapatkan jurang pendidikan, selain meningkatkan kualiti kemudahan dan kecerdasan akademik di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara.
SK St. Edmund, sebuah sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1955 sebelum dipindahkan ke tapak baharu di Batu Satu, Jalan Kubong pada 1958, merupakan antara institusi yang bertuah di bawah seliaan Kementerian Digital bagi program ini.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada setiap sekolah yang terpilih. Khusus di SK St. Edmund, Kementerian Digital telah menyalurkan kemudahan digital bernilai tinggi merangkumi satu set sistem paparan LED panel berwarna penuh, satu unit papan pintar interaktif bersaiz 65 inci, serta lima unit titik capaian tanpa wayar demi memperkukuh landskap digital sekolah.
Turut hadir mengiringi Datuk Fabian dalam lawatan berkenaan ialah Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Puan Shariffah Rashidah Syed Othman; timbalan setiausaha bahagian kewangan dan pembangunan Kementerian Digital, Arfizan Ramly; penolong pegawai pendidikan Daerah Limbang, Mohamad Hirman Apong; pegawai Kementerian Digital Sarawak, Liew Hui Chang, serta barisan pendidik SK St. Edmund.
Lonjakan inovasi sektor awam menerusi ‘Public Sector AI Nexus Challenge 2026’
Pada 3 Julai, timbalan ketua setiausaha (pembangunan digital) Kementerian Digital, M. Ma. Sivanesan telah menyempurnakan Majlis Kick-Off Public Sector AI Nexus Challenge 2026 yang berlangsung di Dewan 360, Petronas Leadership Centre, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Inisiatif terbaharu anjuran Kementerian Digital melalui Jabatan Digital Negara (JDN) dan Pejabat AI Office Kebangsaan (NAIO) direka khusus sebagai platform untuk menggalakkan pembangunan penyelesaian AI berasaskan kes penggunaan sebenar dalam sektor awam. Langkah ini dijangka mampu mempercepatkan lagi proses transformasi digital bagi perkhidmatan kerajaan.
Program berkenaan turut diserikan dengan sesi perkongsian bertajuk ‘AI Adoption in Petronas’ yang disampaikan oleh ketua pegawai eksekutif Petronas Digital Sdn. Bhd., Shaharuddin Hamid Mustapha, yang membentangkan pengalaman berharga berhubung pelaksanaan teknologi AI dalam organisasi gergasi berkenaan.
Kerjasama strategik antara sektor awam dan industri ini dilihat amat kritikal dalam memperkasa inovasi AI tempatan, selaras dengan matlamat Malaysia menjelang tahun 2030.
Sesi libat urus Suruhanjaya Data Malaysia perkukuh kepercayaan digital
Kementerian Digital turut menganjurkan Sesi Libat Urus Kajian Penubuhan Suruhanjaya Data Malaysia yang telah dirasmikan oleh Ma. Sivanesan pada 1 Julai.
Sesi berimpak tinggi ini telah menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan, dan agensi utama yang membentuk ekosistem pengurusan data negara. Antara yang terlibat termasuklah agensi pusat seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, Jabatan Pendaftaran Negara, serta Kementerian Ekonomi.
Kehadiran para wakil adalah bertujuan membincangkan isu, cabaran, dan hala tuju tadbir urus data, di samping mengumpul pandangan strategik berhubung cadangan penubuhan suruhanjaya tersebut.
Cadangan penubuhan Suruhanjaya Data Malaysia ini dianggap sebagai satu langkah serampang dua mata yang amat penting. Bukan sahaja ia bakal memperkukuh tadbir urus data negara secara holistik dan meningkatkan kepercayaan digital, malah ia akan memperluas ekosistem perkongsian data yang selamat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan data.
Inisiatif dinamik ini secara tidak langsung menjadi asas fundamental dalam memperkasa ekosistem AI, memacu gelombang inovasi digital, serta meningkatkan daya saing negara di pentas global, selaras dengan aspirasi Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030.