Lahir generasi celik digital, tinggi nilai kemanusiaan

Kerajaan bertekad melahirkan generasi muda yang seimbang, berakhlak tinggi, dan celik teknologi digital serta AI bagi menerajui kemajuan negara di persada dunia.

Lahir generasi celik digital, tinggi nilai kemanusiaan

PETALING JAYA: Kerajaan bertekad untuk melahirkan generasi yang bijak pandai dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi, terutamanya dalam mendepani era digital yang serba mencabar hari ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, matlamat tersebut selaras dengan ketetapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan bahawa pendidikan di Malaysia merupakan usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

“Hasrat utama negara adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan,” kata Gobind.

“Dalam persekitaran moden ini, motivasi diri yang utuh merupakan benteng serta kompas utama dalam membentuk insan yang seimbang.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Mini Madani Kita: Motivasi dan Kecemerlangan Pelajar Tahun 2026 bagi sekolah-sekolah di bawah Parlimen Damansara di SJKC Puay Chai, di sini.

Gobind, yang juga Ahli Parlimen Damansara, turut mendorong golongan muda untuk menjadikan teknologi digital sebagai salah satu pilihan kerjaya utama.

“Dunia hari ini dan masa hadapan memerlukan pakar yang mampu membina penyelesaian baharu, melindungi data peribadi, memimpin teknologi awan, serta memandu transformasi digital berasaskan nilai kejujuran dan etika.

“Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat memahami dan menguasai teknologi digital, Kerajaan Madani telah menggariskan pelbagai usaha serta dasar beraspirasi tinggi untuk melahirkan masyarakat yang celik digital dan berpengetahuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Menurut beliau, kerajaan kini giat menyediakan infrastruktur, kemudahan latihan, serta modul pendidikan yang menekankan pemikiran kritis dan literasi AI seawal peringkat sekolah lagi.

Langkah strategik tersebut diambil agar tiada anak bangsa yang ketinggalan dalam arus kemajuan pesat global.

Pada masa sama, beliau mengajak generasi muda untuk menguasai mata pelajaran asas seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta sentiasa memupuk rasa ingin tahu yang tinggi.

“Andalah generasi yang bakal memimpin dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat serta dihormati di persada dunia.

“Masa depan negara tidak terletak pada bangunan pencakar langit semata-mata, tetapi pada minda, akhlak, dan kemahiran yang ada dalam diri anak-anak sekalian,” katanya.