KUALA LUMPUR: Pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai ketidakteraturan serius dalam tadbir urus kewangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – khususnya melibatkan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional UKM (UKMShape) – bukan sekadar angka dalam laporan audit.
Menurut Presiden Pertubuhan Integriti dan Antirasuah Malaysia (Intras) dan mantan timbalan pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Fauzi Husin, episod tersebut menuntut tindakan pembetulan segera.
“Susulan penemuan yang dibentangkan Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, di Parlimen pada 23 November lalu hasil prosiding antara 29 Jun hingga 16 Julai 2026 berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 1 Tahun 2026, lima langkah pembetulan utama perlu digerakkan segera dalam episod PAC-UKM ini,” kata Fauzi.
Lima langkah tersebut ialah:
- Pemeriksaan terperinci wajib difokuskan kepada perolehan, pengurusan kewangan, kutipan hasil, projek pembangunan, pelantikan serta pengurusan aset.
- Memastikan setiap keputusan melibatkan kewangan dan kepentingan organisasi mesti melalui proses kelulusan, penelitian serta dokumentasi yang ketat sebelum dimuktamadkan.
- Pegawai yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam sesuatu urusan wajib membuat pengisytiharan dan menarik diri daripada proses membuat keputusan apabila diperlukan.
- Memperkasakan unit integriti dan audit dalam kerana kedua-dua fungsi ini mesti diberi kebebasan profesional, akses maklumat yang jelas serta saluran pelaporan berkesan tanpa sekatan.
- Setiap kelemahan yang dikenal pasti melalui audit atau aduan perlu ditetapkan pegawai bertanggungjawab, tempoh penyelesaian dan pemantauan tindakan pembetulan yang tegas.
Menurut Fauzi, penelitian PAC mendedahkan enam isu utama yang menggugat keyakinan terhadap pengurusan institusi berkenaan. Antaranya termasuk aduan konflik kepentingan yang didakwa diabaikan oleh pentadbiran terdahulu UKM selama hampir lapan bulan serta perjanjian antara UKM dengan Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) yang tidak mematuhi tatacara perolehan kerajaan dan tidak memperoleh kelulusan rasmi yang diperlukan.
“Lebih membimbangkan, kutipan yuran pengajian secara langsung oleh KSBB didakwa berlaku tanpa mandat sah sehingga hasil berkenaan tidak direkodkan dalam akaun UKM. Turut dibangkitkan ialah kegagalan fungsi semak dan imbang di peringkat Lembaga Pengarah Universiti (LPU), dakwaan tawaran wang tunai dan tajaan percutian ke luar negara kepada pegawai Pejabat Penasihat Undang-Undang UKM bagi mempercepatkan semakan kontrak, serta kelemahan pengendalian siasatan dalaman termasuk kebebasan panel siasatan.
“UKM bukan sekadar sebuah universiti. Ia merupakan institusi ilmu yang memikul tanggungjawab besar melahirkan generasi berpendidikan, membentuk pemikiran masyarakat dan menjadi contoh kepada pembangunan nilai serta moral bangsa. Justeru, persoalan yang perlu dibangkitkan bukan sekadar siapa yang terlibat atau apakah tindakan yang perlu dikenakan, tetapi di mana silapnya sistem tadbir urus sehingga kelemahan seumpama ini boleh berlaku?”
Katanya lagi, dalam struktur tadbir urus universiti, LPU menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan pengurusan berjalan teratur, telus dan patuh peraturan.
Kuasa meluluskan mesti seiring dengan tanggungjawab menyemak dan memantau secara aktif, bukan sekadar bergantung kepada laporan atau jaminan pihak pengurusan semata-mata. Sementara itu, konflik kepentingan ibarat penyakit senyap dalam organisasi.
“Apabila pegawai universiti didakwa memegang jawatan penting dalam koperasi tanpa kebenaran bertulis yang sewajarnya, ruang kepada salah guna kuasa dan keputusan yang tidak objektif terbuka luas. Dasar pengisytiharan berkala serta tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan perlu dikuatkuasakan secara konsisten,” ujarnya.
Menurut beliau, isu ini wajar menjadi peringatan keras kepada semua universiti awam, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan. Siasatan SPRM terhadap dakwaan cubaan memberikan suapan – selaras dengan 10 syor utama PAC – perlu berjalan secara bebas, profesional dan adil.
Tambah beliau lagi, pihak universiti tidak boleh berpeluk tubuh menunggu proses penguatkuasaan selesai sebelum membetulkan kepincangan dalaman.
“Pencegahan rasuah sepatutnya bermula daripada sistem kawalan dalaman organisasi itu sendiri. Universiti perlu menjadi tempat ilmu, bukan tempat berkompromi dengan amanah.
“Kecemerlangan akademik tidak akan membawa makna yang besar sekiranya nilai integriti dan akauntabiliti diabaikan. Akhirnya, setiap pemimpin organisasi perlu bertanya kepada diri sendiri: Apakah kita benar-benar membina organisasi yang berintegriti, atau sekadar membina organisasi yang kelihatan berintegriti?
“Hal ini kerana rasuah bukan sekadar berpunca daripada individu yang tamak. Ia juga boleh berkembang apabila sistem lemah, kuasa tidak dikawal dan kepemimpinan gagal mempertahankan amanah integriti dan amanah,” katanya lagi.