BARIO: Kementerian Digital menerusi Pejabat Kementerian Digital Wilayah Sarawak (KD Sarawak) terus memperkasakan agenda transformasi digital negara dengan menganjurkan Program Bario Digital Outreach 2026 di Bario, Sarawak baru-baru ini.
Program berkenaan berfungsi sebagai pembuka tirai bagi Minggu Digital Kementerian Digital 2026 Zon Borneo, sebelum siri jelajah tersebut diteruskan ke Zon Utara di Perak serta Zon Tengah di Kuala Lumpur.
Penganjuran program ini dijayakan menerusi kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk Pejabat Residen Miri, Pejabat Daerah Kecil Bario, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan rakan industri, D Empire Global Ventures.
Ia memberikan tumpuan khusus terhadap pemerkasaan keusahawanan, pendidikan serta penguasaan teknologi digital dalam kalangan komuniti setempat.
Objektif utamanya adalah untuk merapatkan jurang digital dengan memperluas akses, pengetahuan dan kemahiran digital bagi masyarakat luar bandar, terutamanya golongan pelajar serta belia.
Inisiatif ini dirangka selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Digital 2026–2030 di bawah teras memperkukuh Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital, di samping menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
Pengisian utuh dan inklusif
Menurut Kementerian Digital, Program Digital Outreach Bario kali ini menampilkan empat pengisian utama yang dirangka secara holistik:
- Bengkel Usahawan Digital: Seramai 33 pengusaha tempatan yang merangkumi pengusaha inap desa (homestay), petani dan penenun kraf tangan telah dibimbing untuk memanfaatkan platform e-dagang seperti Shopee, TikTok Shop dan Facebook Marketplace. Peserta turut dedahkan dengan teknik promosi platform global, fotografi produk menggunakan peranti pintar serta pendedahan sistem pembayaran tanpa tunai.
- Pembelajaran AI untuk Pelajar: Seramai 30 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bario didedahkan dengan modul pembelajaran interaktif menerusi platform MindAppz e-Tuition yang didukung oleh teknologi Kecerdasan Buatan (AI) seperti Gemini, NotebookLM dan Copilot.
- Kembara & Pencarian Digital: Aktiviti interaktif berasaskan teknologi sistem kedudukan sejagat (GPS), kod QR dan tugasan digital ini menyasarkan penglibatan merentas generasi. Seramai 15 peserta merangkumi belia, penjawat awam sehingga warga emas mengambil bahagian untuk mempelajari cara memanfaatkan teknologi secara santai.
- Malam Estetika Digital: Acara kemuncak program yang bertemakan “Digitalisasi Memperkasa, Kebudayaan Dipelihara” ini berjaya menghimpunkan kira-kira 200 penduduk tempatan bersama kepimpinan masyarakat Kelabit. Malam tersebut menyerlahkan keunikan warisan tempatan menerusi pelbagai persembahan seni dan kebudayaan.
Bawa manfaat nyata kepada komuniti
Pelaksanaan program ini memberikan impak positif secara langsung kepada komuniti Bario, terutamanya dalam meningkatkan kemahiran digital dan keyakinan masyarakat tempatan untuk menggunakan teknologi dalam kehidupan seharian.
Bagi sektor ekonomi tempatan, ia membantu pengusaha kecil memperluas pasaran produk dan perkhidmatan mereka secara dalam talian. Pada masa yang sama, pelajar di kawasan pedalaman menerima pendedahan awal mengenai kaedah pembelajaran digital dan teknologi AI.
Inisiatif ini secara tidak langsung menggalakkan penguasaan teknologi merentas generasi tanpa membelakangkan identiti serta nilai budaya tempatan.
Merasmikan program berkenaan, Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong menegaskan bahawa pemilihan Bario sebagai lokasi pelaksanaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan transformasi digital bersifat inklusif dan dinikmati secara saksama.
Menurut beliau, faktor geografi tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk rakyat menguasai ilmu digital, menikmati peluang ekonomi baharu mahupun memanfaatkan potensi teknologi AI.
Pelaksanaan Program Bario Digital Outreach 2026 di bawah penganjuran Minggu Digital 2026 ini turut mencerminkan usaha merealisasikan agenda kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 bagi memacu transformasi Malaysia ke arah Negara AI 2030.