KSN gesa pelaksanaan Belanjawan 2027 disegerakan, beri impak langsung kepada rakyat

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menggesa perkhidmatan awam menyegerakan pelaksanaan Belanjawan 2027 menerusi reformasi budaya kerja yang berteraskan kepantasan dan kecekapan demi memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

KSN gesa pelaksanaan Belanjawan 2027 disegerakan, beri impak langsung kepada rakyat

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu diterjemahkan melalui perubahan menyeluruh dalam budaya kerja perkhidmatan awam.

Beliau berkata, keutamaan wajar diberikan kepada kepantasan pelaksanaan, kecekapan penyampaian dan keberhasilan yang benar-benar dirasai rakyat.

Menurut beliau, Belanjawan 2027 yang melibatkan peruntukan RM461.84 bilion bukan sekadar penyataan kewangan negara, sebaliknya merupakan amanah besar untuk memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.

“Rakyat tidak menilai kerajaan semata-mata melalui jumlah peruntukan yang diumumkan, sebaliknya menilai melalui kemudahan yang dapat dinikmati, bantuan yang sampai kepada golongan sasar dan urusan yang diselesaikan tanpa kerenah birokrasi.

“Rakyat juga melihat projek yang disiapkan mengikut jadual serta keadilan yang dirasai ketika berurusan dengan institusi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sesi Khas Pasca Pembentangan Belanjawan 2027 dan Pelancaran Aplikasi MyResQ di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Sesi khas bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi: Memperhebat Reformasi’ itu turut menampilkan taklimat hala tuju Belanjawan 2027 oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Shamsul Azri memaklumkan, arahan telah dikeluarkan pada 12 Oktober lalu kepada semua Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan supaya memulakan perancangan segera bagi memastikan inisiatif belanjawan dilaksanakan seawal tahun hadapan.

Beliau turut menggariskan lima keutamaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) merangkumi pengukuhan tatakelola dan akauntabiliti, pembangunan bakat serta budaya prestasi tinggi, pemudahan urusan rakyat, pendigitalan secara bertanggungjawab dan penyelarasan rentas kementerian berasaskan hasil.

Mengulas mengenai reformasi digital, beliau berkongsi pencapaian inisiatif pentadbiran tanpa kertas yang berjaya menjimatkan 482,940 rim kertas bersamaan RM5.79 juta sehingga Ogos lalu.

Pada majlis sama, Shamsul Azri menyempurnakan pelancaran aplikasi MyResQ untuk pelaksanaan secara menyeluruh di seluruh negara bagi memperkukuh respons kecemasan berasaskan komuniti.

Aplikasi yang dibangunkan oleh pakar perubatan kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kerjasama sektor swasta itu menghubungkan orang awam terlatih dalam bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dengan mangsa kecemasan jantung berhampiran.

“Melalui aplikasi ini, individu terlatih berdaftar sebagai Citizen Responder boleh menerima notifikasi kecemasan dalam lingkungan 500 meter dari lokasi kejadian bagi memberi bantuan awal sebelum ketibaan ambulans,” katanya.

Sehingga kini, MyResQ merekodkan lebih 9,500 pengguna berdaftar, 3,500 Citizen Responder disahkan dan 600 peranti defibrilator luaran automatik (AED) berdaftar, selain 503 pengaktifan sistem merangkumi 25 kejadian henti jantung di luar hospital.

Inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan dana daripada Pusat Jalinan Komuniti, UM dan Yayasan Inovasi Malaysia dalam menyokong aspirasi negara ke arah HeartSafe Nation.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Hakim Syarie, Peguam Cara Negara, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Pengerusi Lembaga Pengarah UM serta pengurusan tertinggi kerajaan dan universiti.