KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa tidak mempolitikkan sebarang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala mana-mana individu pula diingatkan supaya tidak menjadikan gelanggang politik sebagai perisai untuk melindungi diri daripada tindakan undang-undang.
Presiden Pertubuhan Integriti dan Antirasuah Malaysia (INTRAS), Datuk Mohamad Fauzi Husin berkata, Malaysia kini berada dalam fasa penting perjuangan membanteras rasuah apabila satu demi satu nama besar melibatkan bekas Perdana Menteri, bekas menteri dan tokoh politik dipanggil mahkamah.
Beliau yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya SPRM tegas menyatakan bahawa prinsip perundangan tidak boleh berubah mengikut siapa yang disiasat, apatah lagi ketika siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) kini membuka lembaran baharu.
Mengulas pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Ogos 2026 berkaitan pertuduhan tidak mengisytiharkan aset, Mohamad Fauzi berkata, kes itu kini berada dalam proses kehakiman dan perlu dilihat secara matang.
“Seseorang tidak wajar dihukum oleh media sosial hanya kerana telah didakwa. Adalah tidak wajar juga seseorang diberikan kekebalan hanya kerana pernah menjadi Perdana Menteri. Jawatan tinggi bukan lesen untuk bebas daripada undang-undang mahupun siasatan.
“Namun begitu, pertuduhan juga bukan sabitan. Mahkamah masih perlu menentukan sama ada pertuduhan itu terbukti berdasarkan bukti dan undang-undang. Hal inilah asas keluhuran undang-undang (rule of law) yang mesti kita pertahankan,” katanya.
Beliau turut menyentuh perkembangan baharu siasatan RCI Tabung Haji pada 2 September 2026, apabila SPRM memaklumkan beberapa individu yang pernah ditahan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.
Jelasnya, sebanyak 14 kertas siasatan telah dibuka melibatkan 18 individu ditahan — termasuk seorang bekas menteri — di mana 11 daripadanya direman, 245 saksi dipanggil serta 60 premis diperiksa atau digeledah. SPRM juga tidak menolak kemungkinan pendakwaan melibatkan golongan kenamaan.
“Pada hari yang sama, seorang bekas menteri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel Tabung Haji di Arab Saudi. Di sinilah kita perlu berhenti seketika. Jangan terus membuat kesimpulan, tetapi jangan juga cuba menutup persoalan. Biarkan penyiasatan berjalan,” ujar beliau.
Mohamad Fauzi juga mengingatkan masyarakat agar tidak membuat spekulasi atau menghukum mana-mana pihak berasaskan khabar angin di media sosial seperti Facebook atau TikTok.
“Kalau ada bukti, bawa ke mahkamah. Kalau belum cukup bukti, teruskan siasatan. Jika akhirnya tiada asas pertuduhan, tutup kes. Itulah cara sebuah negara berdaulat berfungsi,” katanya.
Beliau turut membidas sikap sebilangan pihak yang mengamalkan double standard dalam isu pencegahan rasuah.
“Apabila lawan politik disiasat, kita katakan SPRM menjalankan tugas. Apabila orang sendiri disiasat, kita tuduh konspirasi politik. Apabila lawan didakwa, kita sorak tangkap dan sumbat, tetapi bila orang sendiri didakwa, kita label pendakwaan terpilih.
“Jika beginilah standard kita, sampai bila pun Malaysia tidak akan matang dalam soal antirasuah,” tegasnya.
Menurut Mohamad Fauzi, isu Tabung Haji tidak wajar dipersempitkan sebagai medan pertarungan antara parti politik sama ada Umno, Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN), memandangkan ia melibatkan amanah jutaan pendeposit.
Beliau memetik siasatan SPRM berhubung pelaburan bermasalah dan isu pajakan hartanah Al-Rawda di Mekah dan Madinah yang reported bernilai Saudi Riyal 2.49 bilion.
“Persoalan sebenar bukan siapa kerajaan ketika itu, tetapi siapa yang membuat keputusan, apakah proses kelulusan, due diligence yang dilakukan, siapa mendapat manfaat serta wujudkah konflik kepentingan. Itulah persoalan integriti dan tadbir urus,” katanya.
Beliau menggesa agar ahli politik berhenti memberi tekanan melalui retorik politik dan memberi ruang sepenuhnya kepada proses undang-undang, di mana SPRM, Pendakwa Raya, dan Mahkamah menjalankan tugas secara bebas.
Katanya, kes-kes besar ini sepatutnya menjadi cermin untuk memperbaiki kelemahan kawalan dalaman dan tadbir urus sistem negara, dan bukannya sekadar fokus kepada siapa yang bakal dituduh.
“SPRM bukan milik parti memerintah, bukan milik Perdana Menteri, pembangkang mahupun kerajaan terdahulu. SPRM ialah institusi negara. Kita mahu SPRM cukup bebas dan kuat untuk menyiasat sesiapa sahaja apabila terdapat asas.
“Dalam perjuangan melawan rasuah, musuh sebenar bukan parti lawan, tetapi budaya melindungi kesalahan jenayah rasuah hanya kerana pelakunya adalah ‘orang kita’. Integriti tidak mengenal parti, undang-undang tidak mengenal darjat, dan kebenaran tidak memerlukan warna politik,” katanya.