KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah Malaysia (Intras) Datuk Mohamad Fauzi Husin telah menggariskan lima faktor utama pendedahan generasi muda kepada rasuah, skop ancaman yang merentasi sektor awam dan swasta, serta lima langkah strategik memperkasa agenda antirasuah negara.
Fauzi, yang juga merupakan mantan timbalan persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata antara beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kecenderungan sebahagian generasi muda untuk terlibat dalam rasuah ialah kelemahan pendidikan nilai dan pembentukan akhlak.
“Selain itu, faktor budaya menghalalkan jalan pintas turut menyumbang apabila seseorang menganggap menipu, memalsukan maklumat, meniru dalam peperiksaan, atau menggunakan hubungan untuk memperoleh kelebihan sebagai perkara biasa, sekali gus menghakis nilai integriti dan membentuk pemikiran bahawa kejayaan lebih penting daripada cara mencapainya,” kata Fauzi dalam satu kenyataan kepada Twentytwo13.
“Faktor seterusnya adalah pengaruh persekitaran dan rakan sebaya kerana generasi muda mudah terpengaruh dengan tingkah laku masyarakat sekeliling; jika perbuatan tidak jujur diberikan ganjaran atau dibiarkan tanpa tindakan, mereka mungkin menganggap integriti bukan lagi sesuatu yang penting.
“Di samping itu, materialisme dan keinginan mendapatkan kekayaan dengan cepat seperti keinginan untuk hidup mewah, memiliki barangan berjenama, dan mengejar status sosial boleh mendorong seseorang mengabaikan prinsip apabila kepentingan material mengatasi pertimbangan moral.”
Tambah beliau lagi, kurangnya keberanian moral untuk mengatakan tidak kepada rasuah, kerana mengetahui bahawa rasuah itu salah tidak semestinya menjadikan seseorang berani menolaknya apabila berhadapan dengan tekanan, pujukan, ancaman, atau peluang mendapatkan keuntungan peribadi.
“Oleh itu, generasi muda perlu dibentuk bukan sahaja supaya mengetahui bahawa rasuah merupakan kesalahan undang-undang, tetapi mempunyai keberanian untuk menolak, melaporkan, dan tidak bersubahat dengan perbuatan tersebut.
“Pendidikan antirasuah juga tidak seharusnya dihadkan kepada persediaan generasi muda untuk memasuki perkhidmatan awam sahaja. Apabila mereka bekerja dalam sektor swasta, syarikat, institusi kewangan, GLC, atau menjalankan perniagaan sendiri, mereka turut berhadapan dengan pelbagai risiko rasuah seperti menerima komisen tidak sah, memberikan hadiah dengan niat mempengaruhi keputusan, memanipulasi tuntutan, menyalahgunakan wang syarikat, melakukan penipuan perolehan, dan menyalahgunakan maklumat sulit.
“Malah, apabila seseorang menjadi usahawan atau kontraktor, mereka mungkin berhadapan dengan situasi diminta memberikan wang atau habuan bagi mendapatkan kontrak, kelulusan, atau kemudahan tertentu.”
Fauzi berkata dalam konteks ini, generasi muda perlu memahami bahawa pemberi dan penerima suapan sama-sama boleh melakukan kesalahan di sisi undang-undang, selain diberikan pendedahan mengenai Akta SPRM 2009 termasuk Seksyen 17A berkaitan liabiliti korporat supaya memahami bahawa organisasi perniagaan juga mempunyai tanggungjawab mencegah rasuah.
Bagi memastikan pendidikan antirasuah memberikan kesan yang lebih besar, Intras mencadangkan lima langkah utama iaitu:
1. Memperkasakan pendidikan antirasuah di sekolah di mana pendidikan integriti perlu diterapkan sejak sekolah rendah hingga sekolah menengah melalui aktiviti pembelajaran, perbincangan kes, simulasi situasi rasuah, dan pembentukan budaya jujur.
2. Menilai keberkesanan pelaksanaan KIAR di institusi pengajian tinggi (IPT) melalui kajian impak secara berkala oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bersama SPRM yang tidak hanya bergantung kepada jumlah mahasiswa atau keputusan peperiksaan, tetapi turut melihat perubahan sikap, kefahaman, dan keberanian moral.
3. Memperkasakan peranan ibu bapa dan keluarga kerana pendidikan integriti bermula di rumah melalui teladan sikap jujur, amanah, dan bertanggungjawab tanpa menghalalkan perbuatan salah demi kepentingan keluarga.
4. Membina kumpulan pemimpin muda antirasuah dengan mewujudkan lebih banyak program kepimpinan dan sukarelawan di sekolah dan IPT untuk menjadikan generasi muda sebagai ejen perubahan.
5. Memperkukuh pendidikan integriti dan antirasuah di tempat kerja menerusi pendedahan berterusan mengenai etika kerja, konflik kepentingan, salah guna kuasa, penerimaan hadiah, dan tanggungjawab melaporkan salah laku sepanjang perkhidmatan.
“Negara tidak mahu melahirkan generasi yang mempunyai kelulusan akademik tinggi, kemahiran profesional yang hebat, dan kedudukan ekonomi yang baik, tetapi tidak mempunyai nilai amanah, kejujuran, serta kebijaksanaan yang disalahgunakan untuk memanipulasi sistem dan mengambil kesempatan,” kata Fauzi.
“Negara memerlukan generasi yang cemerlang dalam pendidikan dan kerjaya serta mempunyai prinsip moral yang kukuh, berani mempertahankan kebenaran, dan tidak mudah tunduk kepada godaan rasuah. Perjuangan membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu berjalan seiring dengan pendidikan, pembentukan akhlak, dan pengukuhan sistem pentadbiran.”
Tambah beliau lagi, Intras berpandangan bahawa pendidikan antirasuah perlu dijadikan agenda pembangunan modal insan negara yang digerakkan bersama oleh sekolah, IPT, keluarga, kerajaan, dan sektor swasta bagi mengubah pemikiran masyarakat daripada sekadar takut ditangkap kepada kefahaman bahawa rasuah merupakan pengkhianatan terhadap amanah, masyarakat, dan negara.