SEREMBAN: Sudah melepasi seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, selepas penamaan calon pada 18 Julai lalu.
Kini memasuki minggu kedua dan terakhir kempen berkenaan sebelum hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos ini, bagi menentukan siapakah calon dan parti atau gabungan manakah yang akan memenangi PRN kali ini bagi membentuk kerajaan negeri.
Perang bendera juga memperlihatkan momentum sederhana dan masih belum meriah, dengan kebanyakannya tertumpu di beberapa kawasan tumpuan terpilih seperti dewan, balai raya, jalan raya utama, jalan kampung, jejantas dan jambatan.
Setakat ini, persaingan antara parti yang bertanding dilihat seimbang dengan semua berpeluang untuk mencatatkan keputusan terbaik malah, tiada mana-mana pihak atau pimpinan parti yang berani mengatakan parti mereka mampu dan bakal memenangi pilihan raya ini.
Walaupun terdapat kalangan pemimpin parti mendakwa gabungan atau parti mereka akan memenanginya namun keputusan sukar dijangka berikutan setiap parti dan calon yang bertanding mewakili parti masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.
Malah tidak kurang juga ramai calon yang mempunyai pengalaman bertanding sama ada dalam PRN mahupun Pilihan Raya Umum sebelum ini.
Namun, penampilan calon baharu dan muda turut mencuri tumpuan melalui gerak kerja agresif bersama jentera parti masing-masing bagi menarik perhatian pengundi.
Seperti kebanyakan pilihan raya sebelum ini, selain menggunakan pendekatan ceramah kelompok sebagai strategi, banyak calon turut mengoptimumkan penggunaan pelbagai platform media sosial sebagai jaringan komunikasi untuk meraih undi pengundi.
Minggu pertama kempen juga dihiasi dengan acara lazim iaitu kempen dari rumah ke rumah, solat berjemaah serta tinjauan mesra di kawasan masing-masing, bagi mendekati pengundi.
Dalam tempoh berkenaan juga, setakat ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dua kali hadir ke Negeri Sembilan.
Memasuki minggu kedua kempen, saingan dijangka semakin rancak apabila parti-parti bertanding mula mengatur gerak kerja yang lebih agresif, selain menyaksikan kehadiran lebih ramai pemimpin tertinggi parti bagi membantu calon masing-masing.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi mengakui strategi kempen beliau sepanjang minggu pertama, lebih mengutamakan pendekatan bersemuka secara terus bagi mendengar keperluan penduduk setempat secara lebih dekat.
Beliau berkata, gerak kerja kempen, akan dilipat gandakan menjelang minggu kedua serta menegaskan masih terlalu awal untuk membuat ramalan jumlah kerusi yang bakal dimenangi PH pada PRN kali ini.
“Saya bertekad untuk bekerja ‘200 peratus’ bagi memastikan kemenangan PH dalam pilihan raya ini,” katanya selepas disahkan oleh Perdana Menteri bahawa beliau sebagai calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya mempertahankan pentadbiran negeri.
Pengerusi PH negeri itu berkata, pengumuman berkenaan bukan perkara baharu kerana sudah beberapa kali diumumkan sejak pelancaran jentera pilihan raya.
Menurutnya, beliau yakin PH akan terus mengorak langkah kerana calon-calon daripada PH kali ini mampu memberikan saingan dengan pengalaman dan kebolehan mereka.
“Mereka yang dipilih sebagai calon mampu melaksanakan amanah ini dengan baik dalam meneruskan agenda pembangunan negeri ini sekiranya diberi mandat sekali lagi.
“Malah, kita yakin rakyat mampu menilai sendiri rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH berdasarkan prestasi serta tawaran yang dikemukakan,” katanya yang menegaskan beliau tidak akan melayan serangan politik atau dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah sepanjang baki tempoh kempen, sebaliknya memberi tumpuan menjelaskan manifesto.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pelbagai serangan yang dilemparkan termasuk dakwaan menjadi ‘boneka DAP’ hanyalah andaian tanpa sebarang bukti.
Beliau berkata, serangan itu tidak memberi kesan kepada PH kerana tawaran kepada rakyat sudah diterjemahkan menerusi manifesto.
“Itulah yang lebih penting daripada melayan andaian dan fitnah yang dimainkan pihak lawan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH negeri, Anthony Loke berkata kempen pilihan raya seharusnya menumpukan kepada soal tawaran dan dasar yang ingin dibawa kepada rakyat, bukannya menjadikan serangan peribadi sebagai bahan kempen.
Setiausaha Agung DAP berkata, beliau mengambil pendirian untuk tidak menyerang peribadi mana-mana anggota Kabinet sepanjang kempen.
“Kita perlu berkempen berdasarkan apa yang kita hendak tawarkan dan memperjelas kedudukan kita. Saya mengambil pendirian tidak menyerang mana-mana pemimpin, ungkit apa-apa, khususnya menteri Kabinet kerana mereka ialah rakan dalam Kabinet,” katanya.
Beliau yang akan mempertahankan kerusi DUN Chennah berkata, kedudukannya sebagai Menteri Pengangkutan memberi kelebihan kepada DUN Chennah, sekali gus menepis dakwaan kononnya beliau mengabaikan kawasan susulan kesibukan sebagai Jemaah Menteri.
Selaku menteri, katanya lebih banyak manfaat mampu disalurkan kepada penduduk Chennah termasuk menerusi peruntukan bagi pelaksanaan projek Kampung MADANI.
“Lebih penting ialah apa yang saya boleh lakukan untuk kawasan. Saya juga mempunyai pasukan sepenuh masa yang sangat berdedikasi untuk menguruskan kawasan dan membantu penduduk,” katanya.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perjalanan kempen gabungan itu, menumpukan kepada pengukuhan gerak kerja di semua kawasan DUN yang ditandingi mereka.
“Saya berharap momentum ini dapat diteruskan dan dipertingkat, selain calon serta jentera perlu terus turun padang menyantuni seramai mungkin pengundi, bagi memastikan BN memperoleh keputusan cemerlang pada PRN kali ini,” katanya yang juga Menteri Luar.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang dalam misi mempertahankan di DUN Pertang pula berkata momentum kempen BN pada PRN, berjalan dengan baik setakat ini dengan semua calon BN meningkatkan gerak kerja kempen dalam usaha menyantuni sebahagian besar pengundi.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan gerak kerja jentera pilihan raya Perikatan Nasional berjalan lancar seperti dirancang.
Beliau berkata, meskipun kebanyakan program kempen tertumpu di kawasan diwakili calon parti masing-masing, beberapa siri program persefahaman membabitkan kedua-dua gabungan antara BN-PN turut dilaksanakan.
“Setakat ini penyelarasan berlaku di peringkat kawasan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM). Kita lihat perkembangannya agak positif.
“Malah, tiada tentangan besar dikesan berlaku susulan persefahaman yang terjalin antara BN dan PN,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban 3, Mujibu Abd Muis berkata selepas seminggu berkempen, hala tuju PRN Negeri Sembilan semakin jelas, namun keputusan pilihan raya masih belum boleh dianggap muktamad.
“Pada saya, pertandingan ketika ini lebih tertumpu antara BN dan PH, manakala PN masih berusaha mencari momentum. Pendekatan kempen juga semakin bersifat bersasar, khususnya PH lebih banyak menggunakan ‘micro campaign.’
“Minggu terakhir kempen lazimnya menjadi tempoh paling kritikal, iaitu fasa penentu apabila pengundi atas pagar dan mereka yang masih belum membuat keputusan mula akan menentukan pilihan masing-masing,” katanya.
PRN kali ini menyaksikan sebanyak 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan PH mendominasi saingan apabila menampilkan 36 calon, diikuti BN (25 calon), Bersatu (24 calon) dan (PN 11 calon.
PRN turut dimeriahkan dengan penyertaan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang masing-masing mempertaruhkan seorang wakil, selain empat calon Bebas.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai, manakala 1 Ogos sebagai hari mengundi.